Malaysia rugi RM28.8 bilion jika Lembah Klang dikenakan PKPDB  | DagangNews Skip to main content

Malaysia rugi RM28.8 bilion jika Lembah Klang dikenakan PKPDB 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dijangka tidak berlaku walaupun kes COVID-19 naik mendadak, tetapi kerajaan mungkin sebaliknya mengenakan PKP Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di lebih banyak kawasan terjejas.

Ini adalah berikutan R-naught (R0) Malaysia mencatatkan 1.25 iaitu masih di bawah paras kritikal menurut jangkaan Kementerian Kesihatan, tetapi pelaksanaan PKPDB di Selangor atau kawasan Lembah Klang akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara. 

Menurut nota kajian MIDF Research, sekiranya PKPDB dikenakan ke atas kawasan Lembah Klang selama sebulan, kerugian pengeluaran ekonomi Malaysia dijangka mencecah RM28.8 bilion atau sebanyak 1.9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susulan penurunan permintaan agregat. 

“Berdasarkan saiz ekonomi, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menyumbang kira-kira 40% daripada KDNK Malaysia. Dalam erti lain, PKPDB selama sebulan di Lembah Klang akan menyebabkan penguncupan teruk terhadap pertumbuhan ekonomi pada tahun ini, dengan KDNK merosot sebanyak -6.7% (berbanding ramalan kami, -4.8%).

“Ramalan ini dibuat berdasarkan jangkaan pelaksanaan PKPDB yang ketat seperti PKP pada gelombang pertama penularan COVID-19 yang lalu,” jelas analisis itu. 

Malaysia berjaya mengekang penularan COVID-19 dan mencatatkan kes rendah bagi tempoh tujuh hari pada 4 hingga 5 Jun lalu.

Walaupun terdapat kes baharu setiap hari, bagaimanapun angka itu tidak pernah melebihi paras 20 kes. 

Semalam, Malaysia menyaksikan kes COVID-19 mencecah sehingga angka 260, sekali gus membawa kebimbangan rakyat terhadap pelaksanaan semula PKP selain ketidaktentuan dalam kalangan pelabur.

Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ada dapat diperketatkan lagi tanpa perlu menyebabkan perniagaan menghentikan sementara operasi mereka. Kami berpendapat bahawa kerajaan mempunyai ruang untuk menyuntik rangsangan fiskal tambahan selepas menerima kelulusan oleh Parlimen untuk menaikkan had hutang dari 55% kepada 60% daripada KDNK,” tambah MIDF Research.

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan prospek sektor pengilangan Malaysia pada suku keempat 2020 (4Q20) bergantung kepada keparahan gelombang kedua COVID-19.

“Dalam pada itu, isu-isu yang berbangkit dalam negara mungkin menjejaskan keseluruhan sentimen sektor itu. Bagaimanapun, beberapa indikator menunjukkan tanda positif.

“Langkah pakej rangsangan tambahan baru-baru ini dapat mengurangkan impak ke atas sektor berkenaan,” kata AmBank Research. - DagangNews.com