Malaysia salur pakej bantuan COVID-19 antara terbesar di dunia | DagangNews Skip to main content

Malaysia salur pakej bantuan COVID-19 antara terbesar di dunia

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika memberi penerangan mengenai Pakej-Pakej Bantuan Ekonomi di Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Ketiga minggu lalu.
 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Sebanyak RM530 bilion diperuntukkan menerusi 8 pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sejak tercetusnya pandemik COVID-19, menjadikannya antara pakej terbesar di dunia. 

 

Pakej bantuan itu merangkumi Prihatin, Prihatin PKS, Penjana, Kita Prihatin, Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Plus dan Pemulih yang diumumkan sejak wabak itu melanda negara lebih kurang 500 hari lalu.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan itu diperkukuhkan lagi dengan belanjawan terbesar dalam sejarah negara iaitu Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion.

 

Pada 2020 sahaja, katanya, di tengah-tengah kegawatan ekonomi global yang dikatakan adalah paling teruk sejak Perang Dunia Kedua, kerajaan masih komited dan mampu melaksanakan pakej bantuan keseluruhan yang bernilai RM305 bilion atau 22.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

"Ini merupakan antara kadar terbesar berbanding pakej-pakej rangsangan negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

 

"Pelaksanaan semua pakej ini adalah berlandaskan 3 aspek yang menjadi tonggak kepada perlindungan kesihatan dan pemulihan ekonomi iaitu mengukuhkan sistem kesihatan dan vaksinasi, melindungi rakyat dan menjamin kelangsungan perniagaan," katanya dalam laporan Laksana ke-64 hari ini.

 

Kesemua 8 pakej stimulus ekonomi dan bantuan rakyat yang telah diumumkan setakat ini berpegang kepada 4 elemen utama merangkumi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagai usaha mengurangkan penularan wabak dan memperkasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membina ketahanan diri. 

 

Ia juga termasuklah memperkenalkan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi untuk memastikan kehidupan rakyat terpelihara dan memulih semula ekonomi serta memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada krisis COVID-19.

 

Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan juga telah membentangkan perincian berkenaan pakej-pakej bantuan ekonomi yang telah dan sedang dilaksanakan di Dewan Rakyat sebagai mendokong prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran negara.

 

"Perincian ini amat relevan dengan mesyuarat khas Dewan Rakyat yang diadakan khusus bagi menguar-uarkan semua aspek utama usaha-usaha kerajaan membendung pandemik dan memperkasa sistem kesihatan awam, membela nasib rakyat serta menyokong kelangsungan perniagaan dan memastikan ekonomi kita terus bertahan walau digasak teruk oleh COVID-19," jelasnya. 

 

Beliau menjelaskan, kerajaan juga telah mengubahsuai bantuan-bantuan diberikan mengikut keadaan dan golongan yang terkesan bagi membantu mengurangkan beban mereka akibat pandemik ini.

 

Katanya, pada tahun lalu, di bawah pakej Prihatin, kerajaan mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjumlah RM18 bilion yang memanfaatkan 11 juta penerima. 

 

"Inilah bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara. Buat pertama kalinya kerajaan turut membantu isi rumah M40 yang telah turut terkesan dengan pelaksanaan PKP," tambahnya. 

 

Di bawah pakej terbaharu, Pemulih, kerajaan terus membantu rakyat melalui 3 lagi program bantuan tunai iaitu Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Kehilangan Pendapatan. 

 

"Bayaran yang akan diberikan pada separuh kedua 2021 di bawah ketiga-tiga program ini bernilai RM10 bilion," jelas beliau. - DagangNews.com