Malaysia satu-satunya negara laksana moratorium | DagangNews Skip to main content

Malaysia satu-satunya negara laksana moratorium

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Malaysia satu-satunya negara yang melaksanakan tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan di seluruh dunia, bagi mengurangkan beban rakyat dan perniagaan ketika penularan COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kepada Dewan Rakyat hari ini, lebih 7.7 juta rakyat menerima manfaat daripadanya termasuk lebih 243,000 perniagaan daripada peminjam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Kata beliau, pihak bank ketika ini mengubah terma utama dan syarat pinjaman pada kadar faedah yang lebih rendah seperti kemudahan overdraf ditukar kepada pinjaman bertempoh atau memberi pelepasan lain yang bersesuaian sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.

tengku zafrul
Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

"Ketika ini bank secara proaktif sedang giat menghubungi peminjam untuk menawarkan bantuan bersasar termasuklah, memanjangkan tempoh pinjaman agar jumlah ansuran bulanan dapat dikurangkan.

Bank sudah menghubungi lebih daripada 394,000 peminjam untuk menawarkan penstrukturan dan penjadualan semula bagi membantu peminjam masih terjejas," katanya. 

Beliau mengulas kepada soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Jelasnya lagi, nilai moratorium yang ditawarkan telah mencecah RM59 bilion setakat 20 Julai.

Baca : Bank laksana R&R selepas moratorium tamat, kata BNM

Dalam pada itu, kerajaan ketika ini dalam perbincangan dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) serta institusi perbankan lain berhubung pelaksanaan inisiatif seterusnya, bergantung kepada keadaaan semasa. 

Inisiatif terbaharu itu akan diumumkan tidak lama lagi.  

Sebelum ini, BNM dalam mesyuarat maya bersama-sama penganalisis ekonomi mengesahkan tempoh moratorium mungkin tidak akan dilanjutkan, sebaliknya peminjam akan ditawarkan bantuan kewangan berbentuk skim penstrukturan dan penjadualan semula (R&R). - DagangNews.com