Malaysia sedang berdepan gelombang ketiga COVID-19, varian Delta paling dominan | DagangNews Skip to main content

Malaysia sedang berdepan gelombang ketiga COVID-19, varian Delta paling dominan

Malaysia sedang berdepan gelombang ketiga COVID-19. Kredit gambar Al Jazeera


Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Malaysia sedang berdepan dengan gelombang ketiga pendemik COVID-19.

 

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, peningkatan jumlah kes wabak berkenaan ketika ini disebabkan oleh penularan varian Delta yang telah menjadi dominan.

 

Mengulas perkara sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Hishamshah Mohd Ibrahim memberitahu, penjujukan jenom yang dilakukan pihaknya membuktikan bahawa varian Delta adalah paling dominan.

 

"Pada masa kini varian yang dominan kita dapati daripada penjujukan jenom yang kita lakukan, dominannya adalah varian Delta.

 

"Jadi Delta ini mempunyai kadar kebolehjangkitan berbeza. Kalau Wuhan Strain yang awal dahulu lebih kurang 2 hingga 3 atau pada kadar 2.5. Tetapi varian Delta ini kebolehjangkitannya dianggar 5 hingga 8. 

 

"Ia merupakan satu garis yang baharu. Jadi bila virus yang baru, cara untuk melandaikannya sedikit berbeza dan mengambil masa," katanya dalam satu sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

 

Mengulas berkaitan kadar jangkitan di Lembah Klang, beliau memberitahu, jangkitan di kawasan tersebut yang tinggi disumbangkan oleh varian Delta.

 

Situasi berkenaan dijangka akan terus memuncak hingga akhir bulan Ogos sebelum dapat dilandaikan menjelang 31 Oktober 2021 apabila kadar vaksinasi mencecah 80%.

 

"Perkara yang sama kita dapat lihat di Labuan dan Sarawak sebagai contohnya, walaupun kadar vaksinasi meningkat dengan begitu tinggi dan kes baharu menurun, tetapi lebih penting yang perlu kita tekankan di sini ialah kadar kemasukan ke wad ICU dan kadar kematian telah menunjukkan penurunan yang begitu ketara di Labuan dan Sarawak.

 

"Kita jangkakan kalau kita dapat buat perkara yang serupa di Semenanjung lebih-lebih lagi melibatkan kawasan 'hotspot' terutamanya di Lembah Klang ini dengan peningkatan kadar vaksinasi, kita akan dapat lihat penurunan.

 

"Penurunan kes berkemungkinan akan mengambil masa sedikit, tetapi yang lebih penting kita nak lihat penurunan kemasukan pesakit-pesakit yang serius ke dalam wad, maknanya ke wad ICU dan mereka yang meninggal dunia," tambah beliau lagi.

 

Tambah beliau lagi, meskipun kadar jangkitan COVID-19 di Malaysia semalam adalah tinggi, mereka yang berada pada kategori empat dan lima yang memerlukan penjagaan di ICU dan penjagaan mesin Ventilator adalah 0.9% dan  kategori 3 adalah 1%. 

 

Menurutnya, jika kategori 3, 4 dan 5 dicampur, jumlahnya adalah 1.9%.

 

"Jadi kita mahu kadar yang serius ini dapat dikurangkan. Dengan peningkatan vaksinasi kita akan dapat menurunkan lebih lanjut lagi mereka yang berada dalam kategori 3, 4 dan 5," ujar beliau lagi. - DagangNews.com