Malaysia sedang hasilkan vaksin COVID-19 jenis mRNA | DagangNews Skip to main content

Malaysia sedang hasilkan vaksin COVID-19 jenis mRNA

 Adham Baba.

 Adham Baba.

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Malaysia kini dalam proses membangunkan vaksin COVID-19 sendiri menggunakan jenis Messenger Ribonucleic Acid (mRNA).

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pembangunan vaksin berkenaan dibuat dengan kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

"Vaksin berkenaan ialah jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) yang mula dibangunkan bermula November tahun lepas dan kini pada peringkat pengklonan varian asal virus serta varian lain SARS-CoV-2 (COVID-19).

 

"Selepas ia selesai, kajian praklinikal ke atas haiwan besar dan kecil akan dilaksanakan sebelum kajian klinikal terhadap manusia dilakukan," katanya dalam sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) seperti dilaporkan media tempatan di laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

 

Turut sama dalam sidang media berkenaan ialah Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

 

Mengulas berkaitan perkembangan semasa PICK, Khairy berkata, sebanyak 98,166 permohonan daripada ibu hamil untuk vaksinasi diterima Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

 

Menurutnya, tarikh janji temu sedang dikeluarkan secara berperingkat mengikut jangkaan tarikh bersalin (EDD) para pemohon berkenaan.

 

"Pada hujung minggu lepas, kita telah memberikan sebanyak 3,000 janji temu di Kuala Lumpur dan 224 di negeri Perlis," katanya.

 

"Pihak CITF juga telah meluluskan sebanyak 5,621 permohonan untuk pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara dalam masa terdekat dan mereka perlu mendapatkan suntikan vaksin mereka segera sebelum berlepas," katanya. - DagangNews.com