Malaysia sedia berunding semula FTA dengan EU - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Malaysia sedia berunding semula FTA dengan EU - Tengku Zafrul

Gambar hiasan dari Facebook Kesatuan Eropah di Malaysia
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Sept - Mesyuarat Kabinet baru-baru ini meluluskan Malaysia untuk berunding secara rasmi dengan Kesatuan Eropah (EU) bagi memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas (FTA), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

 

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan rundingan itu menghasilkan 'situasi menang-menang' bagi EU dan Malaysia.

 

“Baru-baru ini kita bentangkan kepada kabinet untuk mulakan semula rundingan dan mencari jalan penyelesaian. 

 

"Terdapat banyak permintaan untuk kami memulakan semula rundingan dan sekarang terpulang kepada EU untuk memulakan rundingan atau tidak," katanya dalam temu bual program Niaga Awani bertajuk 'BRICS: Countering Misconceptions' siaran Astro Awani hari ini.

 

Rundingan FTA bermula pada Oktober 2010, melibatkan lapan pusingan rundingan sehingga September 2012, tetapi ditangguhkan berikutan kedudukan Malaysia dalam beberapa bidang seperti minyak sawit, dasar perolehan, subsidi dan klausa kemampanan EU.

 

 

hhh
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku
Zafrul Abdul Aziz.

 

Tengku Zafrul menegaskan hanya dua negara Asia Tenggara yang telah membuat perjanjian FTA dengan EU setakat ini, iaitu Vietnam dan Singapura. 

 

Beliau berkata, Malaysia juga akan memuktamadkan FTA dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada akhir tahun ini dan juga akan memulakan rundingan semula dengan Korea Selatan yang dijangka selesai tahun depan. 

 

"Kami mempunyai lebih banyak rundingan dengan dua atau tiga negara Eropah yang tidak termasuk dalam EU dan akan memuktamadkan FTA kami dengan negara tersebut," ujar Tengku Zafrul.

 

Menteri itu berkata, kerajaan mahu memastikan Malaysia bekerjasama dengan semua negara secara konsisten, terbuka dan neutral. 

 

"Malaysia mempunyai 16 FTA yang bersifat multilateral dan dua hala, termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)," katanya.

 

Mengenai hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS, Tengku Zafrul mengulas gabungan saiz ekonomi negara-negara BRICS adalah hampir 30% daripada ekonomi dunia.

 

“Kami ingin menyertai blok itu supaya dapat memanfaatkan platform itu sebagai forum untuk bekerjasama dengan negara anggota serta menjadi suara kepada dunia mengenai cabaran dihadapi oleh Global South dari segi perubahan iklim, tenaga, geopolitik dan ekonomi,” ujarnya. 

 

Beliau juga berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai ekonomi terbuka, justeru kerajaan perlu terus menjalinkan kerjasama dengan semua pihak.

 

Malaysia telah memohon untuk menyertai BRICS, sebuah blok kerjasama perdagangan ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009 termasuk Brazil, Rusia, India dan China, diikuti dengan penyertaan Afrika Selatan pada 2010. 

 

Pada Januari 2024, Iran, Mesir, Ethiopia dan UAE juga menyertai sebagai ahli baru.- DagangNews.com