Malaysia sudah lengkapkan proses RCEP, perjanjian berkuat kuasa 18 Mac ini - PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia sudah lengkapkan proses RCEP, perjanjian berkuat kuasa 18 Mac ini - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia sudah melengkapkan proses Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan perjanjian itu akan berkuat kuasa pada 18 Mac 2022.

 

Beliau juga menggalakkan perniagaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil peluang pelaburan yang ditawarkan melalui perjanjian perdagangan mega itu.

 

"Dalam perkara ini, saya ingin mengesahkan bahawa Malaysia akan terus menjalankan konsep ekonomi terbuka dan polisi pro-perniagaan dan pragmatik yang menyokong iklim ekonomi di negara ini.

 

"Usaha yang dilakukan Malaysia secara berterusan berjaya meletakkan negara ini di dalam peta para pelabur," katanya semasa mesyuarat bersama Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (US-ABC).

 

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

 

Antara negara yang terlibat dengan RCEP termasuk Australia, Brunei, Kemboja, China, Jepun, Laos, New Zealand, Singapura, Thailand dan Vietnam dengan tujuan mewujudkan kawasan perdagangan bebas terbesar dunia.

 

jemin

 

Penguatkuasaan perjanjian itu adalah manifesto keazaman rantau itu untuk membukakan pasaran, mengukuhkan integrasi ekonomi dan menyokong sistem dagangan pelbagai hala yang bebas, adil dan berasaskan peraturan.

 

Perjanjian itu menyediakan komitmen akses pasaran baharu dan diselaraskan, peraturan moden dan disiplin yang memudahkan perdagangan dan pelaburan.

 

Ismail Sabri berkata, AS merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia sejak 2015 dan bagi tempoh Januari hingga November 2021 jumlah dagangan negara bersama AS meningkat sebanyak 20.7%, mencapai angka AS$47.35 bilion (RM198.54 bilion) berbanding 2020.

 

Selain itu, Perdana Menteri berkata, AS juga merupakan negara kedua terbesar dari segi pelaburan asing dari segi projek pembuatan.

 

"Saya percaya masih ada pelbagai peluang untuk diteroka dengan mengambil kira skla ekonomi yang ada di ASEAN.

 

"Setiausaha Negara, Anthony Blinken dan Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo semasa lawatan mereka ke Malaysia pada tahun lalu telah memperbaharui komitmen dalam menguatkan hubungan dua hala ke atas ekonomi digital serta ketahanan rantaian bekalan.

 

"Dengan ini saya berbesar hati dengan minat dan penyertaan US-ABC dalam memberikan sokongan kepada ASEAN serta Malaysia dalam usaha untuk memajukan agenda transformasi digital," katanya. - DagangNews.com