Malaysia terima aliran masuk asing RM21.3 bilion pada 2023 berbanding RM5.5 bilion aliran keluar pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Malaysia terima aliran masuk asing RM21.3 bilion pada 2023 berbanding RM5.5 bilion aliran keluar pada 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - Malaysia menerima aliran masuk portfolio asing sebanyak RM21.3 bilion pada 2023 mengatasi aliran keluar sebanyak RM5.5 bilion pada 2022.

 

Menurut SG-UOB Global Economics & Markets Research, ini berlaku walaupun aliran portfolio kehilangan daya tarikan pada Disember 2023 dengan aliran keluar bersih RM1.9 bilion daripada aliran masuk bersih RM6.9 bilion pada November 2023.

 

Ia berlaku apabila pelabur asing bertukar menjadi penjual bersih sekuriti hutang Malaysia bulan lepas, menjual RM2.1 bilion berbanding membeli RM5.4 bilion pada November 2023.

 

Ini mengimbangi sepenuhnya aliran masuk berterusan dalam ekuiti Malaysia (+RM300 juta pada Disember berbanding +RM1.6 bilion).

 

Rizab asing Bank Negara Malaysia pulih lagi sebanyak AS$2.1 bilion bulan ke bulan kepada AS$113.5 bilion pada akhir Disember 2023, selepas mengambil kira perubahan penilaian semula pertukaran asing pada suku tahunan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, aliran modal dijangka berterusan tertakluk kepada turun naik dalam tempoh terdekat,disebabkan oleh penetapan harga pasaran bagi kadar pemotongan Rizab Persekutuan AS (Fed) berikutan keluaran data penting dan ulasan rasmi semasa tahun ini.

 

Situasi geopolitik seperti ketegangan Asia Barat dan pilihan raya di beberapa ekonomi utama akan menambah lagi ketidaktentuan pasaran modal global dan serantau tahun ini.

 

Namun begitu, asas ekonomi yang menggalakkan, momentum pengurnagan inflasi dan prospek dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah, berikutan dasar monetari AS yang kurang menyekat, akan menyelamatkan pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia daripada aliran keluar modal yang besar.

 

Ia sebenarnya boleh membantu rantau ini melihat peningkatan dalam aliran modal mereka walaupun sederhana pada 2024. - DagangNews.com