BANGKOK 26 Feb - Malaysia dan Thailand bersetuju mengiktiraf sijil pelalian COVID-19 masing-masing, yang penting untuk menyokong usaha pembukaan semula sempadan kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia juga akan menyusuli dengan pengiktirafan sijil vaksin digital dan integrasi dua aplikasi MySejahtera Malaysia serta MorProm Thailand.
"Usaha ini bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara," katanya pada sidang media di Bangkok yang disiarkan secara langsung di RTM hari ini.
Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk berbincang di peringkat agensi bagi membuka semula sempadan antara kedua-dua negara dalam tempoh terdekat.
Perdana Menteri berkata, perbincangan itu membabitkan pembukaan sempadan melalui skim Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) bagi Malaysia dan Test & Go bagi Thailand.
"Berkaitan pembukaan semula sempadan, saya dan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha berbincang mengenai keperluan untuk membenarkan semula aktiviti rentas sempadan di antara kedua-dua negara.
"Sebagai permulaan, kita boleh melaksanakan VTL-Udara di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang lengkap vaksinasi. Kita juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi yang lain pada masa akan datang," ujarnya.
Dalam konteks yang sama, Malaysia dan Thailand akan mengadakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Bangkok.
Menurut Ismail Sabri, berkata perkara itu dipersetujui rakan sejawatnya, Prayuth Chan o-cha dalam pertemuan di Rumah Kerajaan di Bangkok, semalam.
"Kami berbincang mengenai keperluan masa akan datang untuk membina kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Bangkok.
"Dalam hal ini, Malaysia dan Thailand bersetuju akan mengadakan kajian kebolehlaksanaan dan kita akan meminta kementerian serta jabatan yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera," katanya.
Sementara itu, Thailand bersetuju supaya Malaysia meneruskan peranan sebagai fasilitator dalam dialog damai di selatan negara berkenaan.
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha, menghargai kerjasama berterusan dalam mengukuhkan keselamatan di sempadan kedua-dua negara.
"Penghargaan itu termasuk dalam membantu menangani dialog damai di selatan Thailand.
"Justeru, saya memberi komitmen untuk menyambung semula dialog damai yang terhenti akibat COVID-19 sebelum ini," kata Ismail Sabri.
Kedua-dua negara juga komited untuk meningkatkan kerjasama dalam Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), terutama melalui pelaksanaan Kesalinghubungan Projek Fizikal (PCP).
``Adalah penting untuk Malaysia dan Thailand memberi fokus kepada tiga bidang tumpuan utama.
"Tiga bidang itu ialah pertanian dan industri asas tani; pelancongan serta produk dan perkhidmatan halal; serta merealisasikan Wawasan IMT-GT 2036 yang bersepadu, inovatif, inklusif dan mampan,'' ujarnya.
Mengenai serangan Rusia ke atas Ukraine, Perdana Menteri berkata, Malaysia menggesa semua pihak yang terbabit dalam konflik di Ukraine untuk segera meredakan keganasan yang berlaku dan mengelak pertambahan angka korban serta kemusnahan.
''Malaysia bimbang mengenai ketegangan yang semakin memuncak di negara itu. Malaysia akan menyokong sebarang usaha untuk menamatkan konflik itu menerusi penyelesaian secara aman dan damai, khususnya menerusi dialog dan rundingan,'' katanya. - DagangNews.com