KUALA LUMPUR 10 Jun - Malaysia dan Turkiye akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) berkenaan perolehan pertahanan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) melibatkan produk-produk tertentu.
Selain perolehan, turut dimeterai nanti ialah beberapa perjanjian kolaborasi dan kerjasama melibatkan pemain-pemain industri pertahanan kedua-dua negara.
Ini antara pengisian utama lawatan rasmi lima hari Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Turkiye yang bermula semalam.
Malaysia dan Türkiye sememangnya telah merintis hubungan diplomatik yang baik termasuklah dalam konteks pertahanan sejak lebih 25 tahun lalu.
Justeru, lawatan Kementerian Pertahanan (Mindef) diketuai Mohamed Khaled ini mendekatkan lagi kerjasama sedia ada.
Walaupun tidak dinyatakan secara khusus tetapi dijangkakan MoU ini melibatkan persetujuan Malaysia membeli kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perolehan kumpulan pertama tiga buah kapal LMS Batch 2 yang dianggarkan bernilai lebih RM2 billion itu dilakukan secara G2G.
TLDM mensasarkan untuk menyelesaikan semua keperluan dokumen kontrak berkenaan perolehan 3 buah kapal LMS Batch 2 sebelum pertengahan tahun ini.
Syarikat STM dari Turkiye menjadi pilihan TLDM dengan menampilkan korvet kelas Ada. Bulan lalu, sebuah korvet kelas ini, TCG Kinaliada milik tentera laut Turkiye singgah di Pelabuhan Klang dalam rangka lawatan singkat ke Malaysia.
Di bawah Rancangan 15-to-5 TLDM, sebanyak 18 buah kapal LMS diperlukan oleh angkatan laut negara. Empat buah kapal LMS terdahulu dibeli dari China.
LMS Batch 2 akan menjadi pembelian terbesar negara selepas kapal tempur pesisir (LCS) sebanyak RM11 bilion.
Jangkaan untuk Turkiye mendapatkan kontrak untuk menyiapkan kesemua 6 buah kapal LMS Batch 2 juga ada berdasarkan keupayaan STM melaksanakan pembinaan termasuk projek dengan negara lain.
Delegasi Menteri Pertahanan juga telah mengadakan lawatan industri ke salah sebuah syarikat industri pertahanan Türkiye, Turkish Aerospace Industries (TAI).
TAI merupakan peneraju dalam industri aeroangkasa Turkiye yang ketika ini sedang membangunkan pesawat tempur generasi kelima, TAI KAAN.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikatakan mempunyai minat pada pesawat TAI KAAN sebagai calon pesawat tempur generasi masa hadapan.
Malaysia sebelum ini telah membeli 3 buah sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS) Anka buatan TAI.
MALE UAS Anka ini yang telah teruji dalam pertempuran dijangka diterima tahun hadapan sebagai aset baharu TUDM.
Semasa lawatan ini delegasi Mindef berpeluang menyaksikan demonstrasi produk-produk pertahanan syarikat tersebut antaranya, helikopter, UAV dan pesawat latihan ringan.
Ini termasuk helikopter penyerang TAI ATAK yang pernah mengintai peluang sebagai helikopter penggempur Tentera Darat.
Pendedahan ini tepat pada masanya memandangkan kerajaan sedang menumpukan perolehan bagi memantapkan pertahanan negara termasuklah kekuatan kuasa udara.
Bersempena lawatan ini, syarikat baik pulih pesawat negara, AIROD telah memeterai kerjasama strategik dengan TAI dalam bidang aeroangkasa dan penerbangan.
Pada 5 Mei lepas, TAI secara rasmi membuka pejabat operasi di Cyberjaya yang dikenali sebagai Turkish Aerospace Malaysia (TUSAS Malaysia)
Ia merupakan pusat reka bentuk pengilang peralatan asal aeroangkasa (aerospace OEM design centre) pertama di Malaysia.
Kewujudan TUSAS Malaysia dapat meningkatkan lagi kemampuan dan keupayaan tenaga tempatan dalam pembuatan dan teknologi aeroangkasa.
TUSAS mempunyai keupayaan tinggi dalam bidang aeroangkasa, justeru ia berpotensi dijadikan rakan strategik dalam melakar pembangunan industri pertahanan Malaysia. - DagangNews.com