Malaysia-UAE sertai Eksesais Desert Tiger Siri 6/23  | DagangNews Skip to main content

Malaysia-UAE sertai Eksesais Desert Tiger Siri 6/23 

Panglima 10 Briged (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal memeriksa kelengkapan anggota yang menyertai Eks Desert Tiger Siri 6/23.
Oleh ZAKI SALLEH 

KUALA LUMPUR 8 Feb - Tentera Darat terus mempelbagaikan kemahiran tempur sedia ada apabila menyertai latihan bersama Eks Desert Tiger Siri 6/23 di Emeriah Arab Bersatu (UAE) bermula hari ini hingga 1 Mac.

 

Ia melibatkan satu kompeni berkekuatan kira-kira 150 pegawai dan anggota daripada Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD) Briged Ke-10 (Para).

 

9 RAMD yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka adalah satu daripada empat batalion di dalam briged tersebut.

 

Eksesais bilateral ini bagi memberi pendedahan tentang operasi di padang pasir serta menambahkan pengetahuan dan kompetensi anggota.

 

Ia juga bersesuaian dengan peranan Briged Para sebagai sebuah Pasukan Aturgerak Cepat (PAC).

 

Pada masa sama, latihan ini dapat mengeratkan hubungan ketenteraan yang sedia terjalin antara Malaysia dan UAE.

 

Sebagai persediaan, kompeni ini telah melaksanakan latihan persediaan Pre-Deployment Training (PDT) dalam Eks Urban Tiger Siri 1/23 di Kem Terendak sejak sebulan lalu.

 

 

atm
Sebahagian daripada anggota 9 RAMD Para yang terlibat dalam Eks Desert Tiger Siri 6/23 di UAE.

 

 

Eksesais memberi fokus kepada kemahiran operasi dalam kawasan terbina (Operation in Built-Up Areas - OBUA).

 

Ia melibatkan aturgerak penyusupan taktikal secara menggempur dari udara, seterusnya atur gerak taktikal di daratan sebelum melaksanakan fasa ofensif dan defensif.

 

Latihan ketenteraan Malaysia di negara Timur Tengah bukanlah baharu, malah dilaksanakan secara berterusan bagi menambah kecekapan.

 

Tambahan pula, penglibatan Malaysia dalam misi tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon sejak 16 tahun lalu menyaksikan kemahiran operasi seperti ini sangat membantu.

 

 

atm
Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal memeriksa kelengkapan yang dibawa untuk latihan tersebut.

 

 

Imbas kembali pada 2016, Tentera Darat telah menyertai latihan Thunder of the North yang diadakan di utara Arab Saudi merangkumi pasukan darat, laut dan udara.

 

Latihan di kawasan teluk ini adalah yang pertama kali disertai oleh ATM. 

 

ATM dijemput oleh Arab Saudi untuk menyertai latihan tersebut dan telah mengambil kesempatan yang ada bagi menimba pengalaman operasi ketenteraan dalam suasana yang amat berlainan dengan di Malaysia. 

 

Malaysia menyertai 20 buah negara termasuk Jordan, UAE, Pakistan, Bahrain, Turkeye, Chad, Tunisia, Djibouti, Senegal, Sudan, Oman, Morocco dan Mesir.

 

 

atm
Anggota ATM bersama tentera negara-negara lain semasa menyertai latihan Thunder of the North di Arab Saudi pada 2016.

 

 

Ia merupakan latihan ketenteraan pelbagai negara yang telah wujud lebih 15 tahun lalu.

 

Selain itu, latihan ini juga memberi peluang kepada ATM untuk lebih memahami prosedur-prosedur berkaitan bantuan kemanusian dan bencana (HADR).

 

Kemahiran ini sangat berguna khususnya dalam operasi menyelamat dan membawa keluar warga Malaysia sekiranya berlaku konflik di rantau tersebut.

 

Seterusnya, ATM turut menyertai Eksesais Gulf Shield pada 2018 di Arab Saudi melibatkan 23 buah negara lain yang juga merupakan latihan ketenteraan terbesar pernah diadakan di rantau itu. - DagangNews.com