Malaysian Genomics tawarkan perkhidmatan vaksinasi untuk sektor swasta | DagangNews Skip to main content

Malaysian Genomics tawarkan perkhidmatan vaksinasi untuk sektor swasta

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics, Sasha Nordin

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad bakal bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal bersepadu dan terbesar di Malaysia, Pharmaniaga Lifesciences Sdn. Bhd. untuk mengedar dan memberikan vaksin COVID-19 kepada sektor swasta.

 

Menerusi perkembangan itu, Malaysian Genomics akan bekerjasama dengan pemberi vaksin pihak ketiga, HealthMetrics Sdn. Bhd. dan rakan kongsi lain bagi langkah vaksinasi pekerja sektor swasta yang dijangka bermula pada minggu kedua Ogos 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics, Sasha Nordin berkata, organisasi dengan tenaga kerja yang besar akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk melindungi staf mereka apabila operasi dibuka semula, memandangkan Malaysia berhasrat untuk membuka semula semua sektor. 

 

“Kami menyokong usaha kerajaan untuk menyuntik momentum yang sangat diperlukan bagi kadar vaksinasi di seluruh negara, untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi menyokong inisiatif tersebut, Malaysian Genomics akan mendapatkan vaksin Sinovac dari Pharmaniaga Lifesciences.

 

Pemberian vaksin itu akan dilaksanakan menerusi rangkaian rakan kongsi klinik Malaysian Genomics di seluruh negara. 

 

Klinik dan syarikat yang berminat boleh mengetahui lebih lanjut melalui enquiries@mgrc.com.my.

 

Perintis dalam penjujukan dan analisis genom, Malaysian Genomics baru-baru ini turut menembusi perkhidmatan biofarmaseutikal dan penjagaan kesihatan termasuk penyediaan imunoterapi Chimeric Antigen Receptor T-cell (CAR T-cell) untuk barah.

 

Awal minggu ini, syarikat itu juga menyaksikan penyertaan dua pengarah bebas ke dalam Lembaga syarikat, iaitu bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan bekas ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Francis Tan Leh Kiah. - DagangNews.com