KUALA LUMPUR 13 Mac - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC) memeterai dua perjanjian kerjasama penyelidikan bersama Universiti Sains Malaysia (USM) bagi meneroka rahsia genetik dan usia rangka wanita Pulau Pinang purba.
Kumpulan itu berkata, perjanjian pertama memberi tumpuan kepada penerokaan genetik menerusi kajian mendalam yang bertujuan menganalisis genetik spesimen wanita Pulau Pinang.
Menerusi kerjasama itu, USM akan menyediakan genetik dan bantuan teknikal jujukan DNA manakala MGRC Therapeutics (MGRCT) akan mengekstrak set lengkap maklumat genetik keseluruhan menggunakan bahan yang diasingkan selain sokongan pembiayaan.
Katanya, kerjasama itu merangkumi tanggungjawab bersama termasuk penyediaan laporan penyelidikan akhir, perkongsian pengetahuan dan penghasilan penerbitan berdasarkan dapatan kajian.
"Perjanjian kedua pula diwujudkan bagi menentukan umur rangka wanita Pulau Pinang purba menggunakan teknik Accelerator Mass Spectrometry (AMS) iaitu pengukuran nisbah radiokarbon selain menjalankan Optically Stimulated Luminescence atau sinaran ion kepada tembikar Guar Kepah.
"Bagi projek itu, USM akan memanfaatkan kepakaran AMS mereka, dengan MGRCT menyediakan sokongan pembiayaan.
"Kedua-dua pihak akan terlibat dalam analisis data, tafsiran dan terbitan manuskrip bersama bagi meningkatkan pemahaman sejarah manusia di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengerusi Eksekutif MGRC, Azri Azerai berkata, kerjasama penyelidkan bersama USM itu bukan sekadar menyelami masa lalu tetapi mewakili gabungan sejarah, sains dan teknologi yang menarik.
"Menerusi pendedahan naratif genetik dan sejarah wanita Pulau Pinang, kami bukan sahaja menyumbang kepada komuniti akademik dan saintifik tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai kepakaran teknikal MGRC," katanya. - DagangNews.com