MRA menyediakan perkhidmatan klinik bergerak untuk merawat mangsa banjir di seluruh negara
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan - Malaysian Relief Agency (MRA) menyalurkan kira-kira RM1.2 juta hasil sumbangan pelbagai pihak bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara.
Presidennya, Dr. Mohd. Daud Bin Sulaiman berkata, sumbangan itu berupa bantuan makanan, barangan cucian, perubatan, pakaian dan perkhidmatan klinik bergerak, termasuk kerja-kerja cucian kediaman terjejas dengan banjir.
Beliau berkata, MRA akan terus melaksanakan operasi penghantaran bantuan kepada mereka yang terkesan dengan musibah ini di seluruh negara.
"Sehingga hari ini, MRA telah beroperasi di 133 lokasi melibatkan sembilan buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah. Lebih 2,800 orang sukarelawan digerakkan bagi melaksanakan program yang memberi manfaat kepada 35,000 mangsa banjir di seluruh negara.
"Program 'Cuci-Cuci Celcom-MRA' yang digerakkan di seluruh negara telah membersihkan lebih 170 buah rumah dan 15 bangunan komuniti yang ditenggelami air. Sebanyak 15 unit generator, 15 pam air dan 30 jet air serta ratusan kit kelengkapan mencuci ditaja Syarikat Celcom Axiata Sdn. Bhd. kepada MRA untuk memudahkan pelaksanaan program ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut laporan terkini yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara, Melaka, Johor dan Pahang masih lagi berada dalam keadaan berjaga-jaga akibat banjir.
Hampir 3,600 mangsa banjir masih ditempatkan di 48 buah pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menunggu banjir surut, selain kebanyakan mangsa sudah pulang ke rumah khususnya di Lembah Klang.
Mohd. Daud berkata, kira-kira 20,000 pek makanan bermasak iaitu 'pek ready to eat' dan pek makanan bulanan mengikut kesesuaian diedarkan kepada mereka yang terkesan.
"Sewaktu banjir sedang memuncak, MRA telah melaksanakan program dapur komuniti yang menyediakan 2,000 pek makanan bermasak setiap hari untuk diedarkan ke PPS terlibat.
"Bantuan seperti toto, bantal, kit kebersihan dan kelengkapan diri, kit solat, tuala wanita, lampin kanak-kanak serta dewasa turut diedarkan kepada orang awam, selain perkakas elektrik dan dapur yang boleh digunakan untuk memasak," katanya.
Beliau menambah, melihat kepada kepentingan kesihatan sewaktu banjir, terdapat banyak isu melibatkan penyakit berjangkit, wabak dan penyakit bawaan air yang perlu dirawat.
Katanya, terdapat pesakit yang mempunyai masalah kronik kehilangan ubat-ubatan sewaktu berpindah ke PPS.
"Untuk tujuan itu, peranan klinik bergerak anjuran MRA amat diperlukan sepanjang musibah. Sebanyak 35 sesi klinik digerakkan dan telah merawat seramai 1,700 orang pesakit. Rata-rata pesakit berterima kasih di atas perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh doktor dan kakitangan paramedik berpengalaman," katanya.
Tambahnya, berdasarkan musibah banjir besar sebelum ini, bantuan banjir ini akan berterusan di dalam tempoh masa sehingga dua atau tiga bulan lagi kerana impaknya meluas.
"Justeru, segala bantuan yang dihulurkan perlu diteruskan secara berterusan," katanya.
MRA turut merakamkan penghargaan kepada syarikat korporat dan yayasan yang telah menyediakan dana bantuan banjir kepada MRA bagi menggerakkan bantuan ke seluruh negara dan berharap kerjasama dapat diteruskan pada masa akan datang.
Antara pihak yang menyumbang, termasuklah Celcom; Yayasan CIMB; Yayasan UEM; Yayasan Nama; Yayasan Hasanah; Yayasan OSK; Yayasan at Tarmidhi; Uniqlo Malaysia; Corporate Guarancee Corporation; Volkswagen; Global Sadaqah dan Yayasan Noah.
MRA mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai, individu, yayasan atau korporat melalui akaun CIMB bernombor 86-000-59478 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation atau sila hubungi 03-91744672 untuk maklumat lanjut dan pertanyaan. - DagangNews.com