Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Nov. - Syarikat penerbangan, Malindo Air menafikan bahawa pihaknya telah menyeleweng sebahagian wang yang diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
Sebaliknya, Malindo Air mendakwa apa sahaja jumlah yang diterima dikeluarkan sepenuhnya kepada pekerjanya.
Jelas syarikat penerbangan itu, di bawah Program Pengekalan Pekerjaan (ERP), Malindo Air telah menerima sejumlah RM1,267,200 bagi April 2020 di mana dikreditkan pada pertengahan Mei 2020 oleh Perkeso seterusnya diserahkan kepada 2,112 staf.
Seterusnya, sejumlah RM1,486,800 yang diterima penghujung Jun 2020 dikeluarkan kepada 2,478 staf pula, dakwa Malindo Air.
Tambah Malindo Air, apabila Perkeso tidak meneruskan ERP dan menggantikannya dengan Program Subsidi Upah (skim PSU), hanya 196 staf yang menerima manfaat dan sejumlah RM235,200 diterima pada bulan Jun serta Julai 2020, di mana Perkeso hanya mengeluarkan dana itu kepada staf pada penghujung Ogos dan September 2020.
“Pandemik COVID-19 yang menyebabkan penghentian sementara penerbangan kami sejak Mac lalu telah menjejaskan kewangan kami dengan purata hasil terkini hanya mencecah 7.5% daripada paras sebelum pandemik.
“Bagaimana anda dapat meneruskan status quo selama lapan bulan dan masih menghitung, ketika hampir tiada hasil atau sebarang sokongan?” soal Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri.
Disebabkan hakisan aliran tunai akibat pandemik COVID-19, Malindo Air terpaksa mengambil langkah pengurangan kos besar-besaran untuk kekal bertahan termasuk mengurangkan 50% penggunaan operasi pesawat dengan memindahkan 20 kapal terbang.
Syarikat penerbangan itu juga meminta pengangguhan dan rundingan semula kontrak dengan pembekal perkhidmatan termasuk pemajak kapal dan lapangan terbang.
Selain itu, Malindo Air menegaskan bahawa walaupun pihaknya telah mengambil banyak langkah seperti Skim Pemisahan Sukarela (VSS) untuk 349 kakitangannya dan skim Tidak Dibayar Jangka Panjang (LTU) untuk 439 juruterbang dan kru kabinnya, tanpa prospek segera untuk memulakan semula operasi biasa, mereka terpaksa memberhentikan 1,861 kakitangan untuk terus beroperasi.
Dalam pada itu, sejak penularan pandemik COVID-19, Malindo Air mencatatkan purata hasil bulanan sebanyak RM200 juta yang digunakan untuk membayar gaji 5,000 kakitangan berjumlah RM40 juta setiap bulan.
“Syarikat penerbangan ini menekankan bahawa ia bekerja rapat dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan; Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan Malaysia, Khalid Jali; Jabatan Tenaga Kerja; Perkeso dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad untuk membantu staf yang diberhentikan bagi latihan dan kemahiran semula menjelang penempatan pekerjaan seterusnya.
“Lapan bulan sejak penularan pandemik dengan tiada gambaran sekatan akan dilonggarkan, pembukaan sempadan atau pandemik mereda, perjalanan udara secara global akan terus kekal dalam keadaan tidak menentu,” tambah Malindo Air. - DagangNews.com