KUALA LUMPIUR 31 Okt - MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) mengumumkan bahawa pelanggan kini boleh memilih TM Cab yang lebih tinggi dan lebih luas sebagai pilihan.
Sehingga kini, TM Cab dengan ketinggian standard menjadi pilihan pasaran Malaysia kerana cirinya yang fleksibel.
Reka bentuknya yang kompak dan ringan menjadikannya sesuai untuk pelbagai kegunaan seperti lori tangki dan pembawa kontena atau untuk mengangkut balak dan bahan binaan berat di jalan raya Malaysia yang biasanya sempit.
TM Cab serba baharu mempunyai lebar luaran yang sama iaitu 2240 mm dan panjang 2280 mm seperti TM Cab tetapi lebih tinggi pada 2035 mm berbanding 1737 mm.
Ini memberi kelebihan ruang di bahagian dalam kabin. Tambahan 280 mm ruang kepala diterjemahkan kepada lebih banyak ruang untuk berdiri, bergerak dan menyimpan barangan selain ruang rehat yang lebih selesa di bahagian belakang.
Ia penting kerana kabin ialah tempat kerja dan ruang kediaman untuk pemandu lori. Di sinilah tempat mereka menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya dan berehat selepas bekerja, terutamanya dalam perjalanan jarak jauh.
Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks berkata, MAN TM Cab serba baharu merupakan satu lagi tawaran yang dipacu oleh pasaran daripada syarikat ketika MAN terus memacu perubahan ke arah masa depan.
“Sudah hampir setahun sejak kami menerajui perjalanan kemampanan dengan memperkenalkan MAN Truck Generation baharu kami dengan enjin Euro V sebagai standard di Malaysia apabila tiada pengeluar lain yang berani berbuat demikian. Di pentas global, MAN juga terus maju ke hadapan dengan MAN e-Truck elektrik sepenuhnya yang bakal diperkenalkan dua tahun dari sekarang.
"Walaupun kami secara aktif membentuk peralihan kepada mobiliti mampan dan neutral iklim dengan produk teknologi tinggi, kami tetap komited untuk terus berinovasi dan menambahbaik produk konvensional kami untuk memenuhi keperluan ‘dunia sebenar’ industri pengangkutan hari ini.
"MAN TM Cab serba baharu menawarkan semua kelebihan TN Cab dan kini juga memenuhi keperluan elemen terpenting dalam rantaian logistik-pemandu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
O'Brooks berkata, MAN memahami dengan jelas keperluan untuk menyediakan penyelesaian yang tepat untuk membantu syarikat-syarikat pengangkutan merekrut dan mengekalkan pemandu pada ketika industri menghadapi kekurangan tenaga pemandu yang teruk.
“Pemandu lori mempunyai tugas yang sangat mencabar, mereka mengendalikan jentera yang besar, perlu mematuhi pelbagai peraturan dan had, sering mengalami kesuntukan masa dan terdedah kepada banyak tekanan ketika menempuh lalu lintas jalan raya setiap hari.
"Falsafah 'Excellent Driver Fit' yang membimbing pembangunan MAN Truck Generation Baharu kami menjangkau lebih daripada usaha untuk mewujudkan kabin yang selesa dan ergonomik. Senarai penuh bantuan pemanduan yang canggih dan sistem keselamatan memastikan pemandu lori kekal selamat setiap kali mereka berada di jalan raya memandu MAN Truck," katanya. - DagangNews.com