KUALA LUMPUR 18 Mac – MARC Ratings mengesahkan penarafan AA-IS dengan prospek stabil terhadap program Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) Farm Fresh Bhd. bernilai RM1 bilion di bawah prinsip syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.
Menurutnya, pengesahan penarafan itu mencerminkan rekod prestasi jualan Farm Fresh yang semakin meningkat untuk rangkaian luas produk tenusunya dan kedudukan pasaran domestik yang kukuh dalam segmen tenusu utama disokong oleh prestasi kewangan yang baik.
Agensi penarafan itu mendapati Farm Fresh kekal sebagai pemain terkemuka dalam segmen minuman sejuk (RTD) domestik, dengan bahagian pasaran sebanyak 42% setakat akhir September 2021 dan disenaraikan di antara 3 teratas dalam RTD (sejuk dan ambien) dan segmen yogurt.
Ia berpendapat, syarikat berada dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan pengambilan susu di Malaysia yang berkembang 4.8% tahun ke tahun pada 2021, disokong dengan operasi kemudahan pemprosesan keempatnya di Taiping, Perak menjelang Jun 2022.
"Kekuatan ini bagaimanapun, disederhanakan oleh risiko yang berkaitan dengan pelaksanaan rancangan pengembangannya dan wabak penyakit secara tiba-tiba dalam kalangan aset biologinya yang boleh memberi kesan kepada pengeluaran keseluruhan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Farm Fresh ketika ini mengendalikan 5 ladang tenusu di Malaysia dengan jumlah keluasan 2,829 ekar dengan saiz kumpulan 5,961 lembu tenusu setakat akhir Januari 2022.
Ini dilengkapi dengan ladang seluas 2,587 ekar dengan 2,672 lembu tenusu di Greater Shepparton, Australia, menjadikan jumlah kawasan ladang kumpulan itu kepada 5,416 ekar dan saiz kumpulan kepada 8,633 lembu tenusu (berbanding Mac 2020: 4,065 ekar; 7,384 lembu tenusu).
Dipasarkan di bawah jenama Farm Fresh, Master Barista, Henry Jones dan Yarra Farm, pertumbuhan jualannya akan terus dipacu oleh rangkaian berbilang pengedaran yang mantap.
Menerusi rangkaian pengedaran, peruncit format besar menyumbang 46.5% daripada jumlah pendapatannya pada akhir September 2021 diikuti stokis/peniaga kira-kira 30% manakala hotel, restoran dan kafe pula kira-kira 16%.
Pasaran eksportnya, terutama ke Singapura dan Brunei terus berkembang tetapi kekal sederhana buat masa ini, memandangkan kumpulan sedang merancang untuk memasuki pasaran Indonesia dan Filipina dengan pelaburan sebanyak RM40 juta untuk kemudahan pemprosesan, dibiayai oleh hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) kira-kira RM300 juta.
Menurut MARC Ratings, pada separuh pertama 2022, Farm Fresh menjana pendapatan sebanyak RM257.2 juta dengan keuntungan operasi sebanyak RM40.5 juta.
Kos pengeluaran juga meningkat, dengan keuntungan operasi kekal stabil sekitar 15.7% setakat akhir separuh pertama 2022.
"Tetapi disebabkan, tekanan kenaikan kos daripada pengangkutan, ternakan dan buruh, Farm Fresh telah meningkat harga siling jualan kira-kira 5% bagi produk RTD sejuk pada September 2021 diikuti produk ambien pada Disember 2021.
"Kami mendapati syarikat pada masa ini mempunyai penampan yang mencukupi untuk menyerap beberapa kenaikan kos.
"Bagaimanapun, sebarang langkah untuk meningkatkan harga jualan untuk mengimbangi kenaikan kos perlu mengambil kira landskap daya saing industri tenusu domestik," katanya. - DagangNews.com