KUALA LUMPUR 20 Okt. - Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) memberi penarafan kredit korporat AAA dengan prospek stabil ke atas Sime Darby Plantation Berhad (SD Plantation).
Pada masa sama, agensi penarafan tersebut turut mengesahkan penarafan AAIS/Stabil pada Program Sukuk Subordinat Kekal (Sukuk Kekal) SD Plantation hingga RM3 bilion.
Menurut MARC, operasi perladangan yang besar, kepelbagaian geografi dan operasi ladang sawit yang bersepadu menjadi pemacu utama bagi penarafan tersebut.
"Penarafan ini juga mendapat manfaat daripada sokongan tidak langsung dari syarikat induknya, Permodalan Nasional Berhad (PNB), syarikat pelaburan milik kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pendedahan SD Plantation kepada naik turun harga minyak sawit mentah (MSM) yang menyebabkan ketidaktentuan dalam aliran tunainya kekal menjadi faktor yang sederhana.
Dengan mengambil kira komitmen kumpulan untuk memperuntukkan sebanyak RM800 juta dalam tanaman semula, penurunan aliran tunai daripada harga MSM yang rendah sejak akhir-akhir ini membebankan keupayaannya untuk mengurangkan tuntutan hutang dari dana luaran.
Syarikat perladangan itu sebaliknya bergantung kepada hasil penjualan tanah bagi mengurangkan pinjaman.
Namun disebabkan beberapa kelewatan, penjualan tanah berjumlah RM438 juta itu selesai pada akhir separuh pertama 2020.
"Pinjaman SD Plantation diselaraskan lebih rendah pada RM8.7 bilion pada separuh pertama 2020 (berbanding RM8.9 bilion separuh pertama 2019) mencerminkan nisbah kepada ekuiti (DE) pada 0.55x.
"Apabila penjualan tanah itu selesai dengan hasilnya digunakan untuk mengurangkan pinjaman, leveraj kumpulan dijangka meningkat kira-kira 0.52x," katanya.
Pada separuh pertama tahun ini, SD Plantation merekodkan harga purata MSM lebih tinggi pada RM2,475 tan metrik berbanding RM2,016 tan metrik bagi tempoh sama tahun lalu.
Dalam tempoh itu juga, aliran tunai daripada operasi juga lebih tinggi pada RM1.2 bilion berbanding RM594 juta. - DagangNews.com