MARDI anjur Pameran Teknologi dan Inovasi Pertanian di MAEPS mulai 25 hingga 27 Ogos ini | DagangNews Skip to main content

MARDI anjur Pameran Teknologi dan Inovasi Pertanian di MAEPS mulai 25 hingga 27 Ogos ini

Datuk Seri Mohamad Sabu (dua, kiri) melawat plot tanaman bawang pada Pameran Teknologi MARDI 2023, sambil diiringi oleh Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani (dua, kanan) dan Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr Azman Ismail.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menganjurkan Pameran Teknologi dan Inovasi Pertanian (Show-tech MARDI 2023) bermula hari ini hingga 27 Ogos di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS).

 

Pameran tersebut dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

 

Mohamad Sabu berkata, bagi memastikan objektif jaminan sekuriti makanan negara tercapai, proses pemindahan teknologi adalah penting bagi meningkatkan kelestarian sumber pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan penyediaan makanan negara. 

 

Beliau berkata, pemindahan teknologi pertanian akan memberi manfaat kepada masyarakat sekiranya ia dapat diaplikasikan secara efektif di lapangan.

 

"MARDI sebagai Institusi Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian telah menaja banyak teknologi berkaitan pertanian dan industri agromakanan di mana teknologi ini perlu dikembangkan kepada golongan sasar.


    
”Pendekatan bersepadu oleh agen-agen pengembangan dan penjana teknologi perlu diambil bagi memastikan berlaku seiring dengan peralihan zaman, jadi saya berharap Show-tech MARDI 2023 diharap mampu menjadi aspirasi bagi memastikan kelancaran dan kerancakan aktiviti pemindahan teknologi kepada golongan sasar seterusnya memastikan kelangsungan dan jaminan bekalan makanan negara," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pameran bertemakan ‘Peneraju Inovasi Agroteknologi’ itu adalah bertepatan dengan mandat MARDI dalam menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan teknologi dan inovasi dalam bidang pertanian. 

 

 

mardi

 

 

"Teknologi yang mapan amat penting dalam mengukuhkan agenda keterjaminan makanan negara. 

 

"Justeru, Show-Tech MARDI 2023 adalah platform untuk mempamerkan dan menghebahkan teknologi dan inovasi pertanian hasil penyelidikan MARDI sejak 50 tahun yang lalu kepada masyarakat dan pemain industri," katanya.

 

 

mardi

 

 

Show-tech MARDI 2023 memfokuskan enam kluster utama bidang penyelidikan di MARDI dengan lebih 300 Teknologi dan Inovasi Pertanian dipamerkan iaitu tanaman (hortikultur, tanaman makanan iaitu padi dan tanaman industri), ternakan, teknologi makanan, mekanisasi, pemindahan teknologi dan agropelancongan.

 

Pada majlis itu, Mohamad Sabu turut melancarkan tiga varieti bawang merah MARDI iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 dan dua  buah buku dari Penerbit MARDI iaitu Buku Teknologi Pengeluaran Jagung Bijian dan Buku Merungkai Sistem Penanda Molekul.

 

MARDI juga memeterai pertukaran dokumen perjanjian (MoA) bersama dengan sembilan buah syarikat dan sesi penyerahan teknologi-teknologi MARDI kepada usahawan. - DagangNews.com