Mardi, Institut Darul Ridzuan jalin kerjasama perkasa keterjaminan sekuriti makanan negeri Perak | DagangNews Skip to main content

Mardi, Institut Darul Ridzuan jalin kerjasama perkasa keterjaminan sekuriti makanan negeri Perak

(Dari kiri) Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, Pengarah UPEN Perak, Haliza Sipun, Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkaply Harun dan Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan, Dr Maisarah Ahmad.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) memeterai memorandum persefahaman (MoU) Institut Darul Ridzuan (IDR) bagi pembangunan usahawan tani Perak serta memperkasakan keterjaminan sekuriti makanan negeri. 

 

Perkongsian tersebut dirasmikan sempena Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Pavilion Rumah Negeri Perak, MAEPS, Serdang.

 

Mardi berkata, kerjasama itu menyasar untuk mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak bagi memajukan sektor pertanian di negeri itu melalui penggunaan teknologi moden dan perkongsian data analitik.

 

"Perkongsian itu dijangka membuka jalan bagi pelaksanaan penyelidikan serta pemindahan teknologi, serta menyediakan khidmat nasihat teknikal bagi memperkasakan masyarakat tani dengan teknologi pertanian yang cekap dan berdaya saing.

 

"IDR selaku badan pemikir negeri Perak akan memainkan peranan penting dalam menyelaraskan strategi pembangunan sosio-ekonomi negeri melalui inisiatif berimpak tinggi.  

 

"Kami pula akan menyumbangkan kepakaran teknikal institusi dalam memacu kemajuan industri pertanian negeri itu," kata Mardi dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Majlis pertukaran MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan, Dr. Maisarah Ahmad.

 

Pada masa yang sama, majlis itu disaksikan oleh Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkaply Harun.

 

Selain itu, institut penyelidikan itu berkata, kerjasama itu juga akan membina asas bagi kerjasama yang lebih erat bagi pengembangan sektor pertanian. 

 

"Ini merupakan salah satu tunjang penting dalam usaha negeri Perak mencapai matlamat keterjaminan makanan selaras dengan salah satu agenda utama Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu agenda sekuriti makanan," katanya. 

 

Sementara itu, melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak komited bagi merealisasikan pembangunan ekonomi yang dinamik, inklusif dan mampan di negeri Perak khusunya dalam sektor pertanian. - DagangNews.com