Margin keuntungan lebih baik, CGS-CIMB naikkan unjuran EPS Malakoff  | DagangNews Skip to main content

Margin keuntungan lebih baik, CGS-CIMB naikkan unjuran EPS Malakoff 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Margin keuntungan dan sumbangan yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu serta usaha sama (JV) Malakoff Corporation Berhad pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) telah mendorong CGS-CIMB Research untuk menaikkan unjuran perolehan sesaham (EPS) kumpulan. 

 

Penganalisis di CGS-CIMB, Ngo Siew Teng berkata, firma itu meningkatkan EPS bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23 kepada 11% hingga 13%. 

 

“Harga sasaran (TP) kami yang berdasarkan SOP disemak naik kepada RM1.05 susulan semakan semula unjuran perolehan,” jelas Siew Teng.

 

Saranan ‘tambah’ dikekalkan berdasarkan profil perolehan Malakoff yang lebih baik kerana Alam Flora telah menyumbangkan keuntungan lebih tinggi dan kos kewangan yang lebih rendah. 

 

Bagi 2QFY21, kumpulan menyaksikan hasilnya melonjak 5% berbanding tempoh sama tahun lalu yang dipacu oleh pembayaran tenaga lebih tinggi daripada Tanjung Bin Power (TBP) dan Tanjung Bin Energy (TBE).

 

Ini sekali gus mendorong keuntungan bersih utamanya untuk meningkat 47% berbanding tempoh sama tahun lalu susulan sumbangan lebih tinggi daripada TBP dan Alam Flora serta perkongsian keuntungan daripada syarikat bersekutu dan JV yang lebih tinggi.

 

“Malakoff mengumumkan interim dividen sesaham lebih tinggi sebanyak 3.1 sen pada separuh pertama FY21 (1HFY21) daripada 2.8 sen pada 1H20, mewakili pembayaran dividen sebanyak 85% (berdasarkan keuntungan bersih 1H21) di mana lebih tinggi daripada unjuran pembayaran dividen kami, 80%. 

 

“Kami mengekalkan unjuran dividen memandangkan kumpulan mungkin bertindak untuk menyimpan lebih banyak wang tunai bagi peluang perniagaan baharu pada masa akan datang,” tambah Siew Teng.

 

Di sebalik prestasi kewangan yang lebih baik itu, AmInvestment Bank bagaimanapun mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas saham Malakoff dengan nilai wajaran tidak berubah pada kadar RM0.95 sesaham. 

 

“Kami berpendapat keuntungan bersih Alam Flora meningkat sebanyak RM3 juta kepada RM6 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, mendorong julat (keuntungan) antara RM30 juta hingga RM35 juta pada 1HFY21, dipacu oleh permintaan kerja-kerja sanitasi yang stabil.

 

“Kami menjangkakan Alam Flora menyumbang lebih 20% daripada keuntungan bersih utama Malakoff pada 1HFY21,” kata penganalisis di AmInvestment, Gan Huey Ling. - DagangNews.com