Masalah pengangguran: Gerun atau masih boleh senyum? | DagangNews Skip to main content

Masalah pengangguran: Gerun atau masih boleh senyum?

Masalah pengangguran

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

Kemunculan wabak COVID-19 sejak tahun lalu 'menjerut' landskap ekonomi negara untuk terus berkembang maju.

 

Bukan sahaja menyekat pengoperasian syarikat dan perniagaan, malah turut mengheret kepada isu pengangguran.

 

Pada 2019, pengangguran negara berada pada kadar 3.2% melibatkan 510,000 penganggur setakat 31 Disember 2019.

 

Isu berkenaan bagaimanapun menjadi lebih parah apabila kadar pengangguran bulanan pada 2020 terus mencatatkan peningkatan.

 

Bermula Februari tahun lalu, pengangguran negara meningkat kepada 3.3% diikuti Mac sebanyak 3.9%.

 

Peningkatan pengangguran mendadak dicatatkan pada April 2020 dengan kadar 5% dan Mei (5.3%).

 

Hinggalah pada Disember 2020, negara mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 4.8% dengan jumlah 772,900 penganggur.

 

Daripada jumlah tersebut, kadar pengangguran keseluruhan pada 2020 meningkat kepada 4.5% iaitu kadar yang paling tinggi pernah dicatatkan sejak 28 tahun lalu pada 1993 (4.1%).


 

Baca: Golongan bekerja sendiri terus terjejas akibat COVID-19

 

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, meskipun kadar pengangguran yang dicatatkan pada 2020 itu sudah dijangka, perkara tersebut bagaimanapun perlu dipandang serius dan wajar digeruni.

 

Jelasnya, langkah untuk mengawal dan mengekang isu berkenaan juga perlu diperhebat daripada terus meningkat.

 

Mohd. Afzanizam Abdul Rashid
Mohd. Afzanizam Abdul Rashid

 

"Kadar pengangguran ini memang sudah dijangka berikutan penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan aktiviti ekonomi terencat dan kejatuhan dalam jualan perniagaan. 

 

"Industri-industri yang terjejas seperti pelancongan, penerbangan, makanan dan minuman menghadapai penurunan dalam angka jualan yang begitu teruk dan perkara ini memaksa mereka mengurangkan kos termasuklah kos buruh. 

 

"Langkah pengurangan gaji dan upah serta pembuangan pekerja antara pilihan yang biasa laksanakan apabila menghadapi kemelesetan ekonomi," jelasnya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Trend pengangguran sememangnya berkait rapat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

 

Susulan itu, beliau memberitahu, pasaran buruh akan terus terkesan akibat operasi perniagaan yang begitu terhad sekiranya tempoh pelaksanaan PKP 2.0 dilanjutkan lagi.

 

Akibatnya, negara dijangka terus mencatatkan situasi pengangguran yang tinggi serta 'under employment' yang mana jumlah kerja yang sedikit akan berterusan.

 

Ujar beliau, keputusan kerajaan melaksanakan PKP 2.0 bukanlah satu keputusan yang diambil secara sambil lewa kerana melibatkan nyawa rakyat Malaysia.

 

"Kita harus memahami sekiranya langkah PKP dilanjutkan, ia bertujuan untuk meratakan keluk serta memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
 

 

"Ini adalah kerana sebarang keputusan pelaksanaan PKP ini adalah atas nasihat pakar kesihatan yang wajib dipatuhi bagi memastikan kelangsungan hidup dapat dicapai dan dikekalkan," tambah beliau.

 

Mengulas berkaitan sentimen pelabur asing terhadap jumlah pengangguran yang terus meningkat, beliau memberitahu, isu penggangguran sebenarnya turut memberi sisi positif terhadap Pelaburan Langsung Asing (FDI).

 

"Situasi ini menunjukkan terdapat lebihan penawaran pekerja yang boleh diambil pada bila-bila masa. 

 

"Jadi ada juga sisi yang boleh dilihat secara positif bagi FDI, jika mereka mahu menubuhkan perniagaan di Malaysia," ujarnya lagi. 

 

Tampil dengan nada berbeza, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid memberitahu, kadar pengangguran 2020 pada 4.8% adalah normal berdasarkan kepada situasi kemelesetan ekonomi yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

 

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid
Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

 

Katanya, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Portugal dan Jerman mencatatkan kadar pengangguran yang lebih tinggi kesan daripada ekonomi semasa yang terburuk sejak "the Great Depression" melanda dunia.

 

"Sejujurnya angka yang dicatatkan negara 4.5% masih tidak terlalu melampau dan dalam kawalan kerajaan.

 

"PKP 2.0 tidaklah seteruk PKP 1.0 di mana negara kehilangan RM700 juta sehari berbanding RM2.6 bilion sehari seperti terdahulu. Sektor ekonomi sekarang dibenarkan untuk dibuka berdasarkan pematuhan SOP, malah bermula 10 Februari 2021, hampir semua sektor dibenarkan kembali dibuka. 

 

"Ini mengurangkan ancaman peningkatan kadar pengangguran dari terus meningkat di luar kawalan. Tidak dinafikan sektor perhotelan dan secara amnya industri pelancongan masih belum dibuka sepenuhnya akibat dari pergerakan rentas sempadan tidak dibolehkan, namun ia mungkin dikaji semula sekiranya trend jangkitan terus menurun seperti beberapa hari lalu sehinggalah 18 Februari 2021 nanti," jelasnya.

 

Sementara itu, sejumlah siswazah juga akan menyertai sektor pekerjaan yang sudah melebihi 15 juta orang sekali gus memberi tekanan untuk menaikkan lagi kadar pengangguran negara.

 

Bagaimanapun katanya, kenaikan jumlah tenaga kerja tersebut mungkin disokong oleh kadar pembukaan ekonomi yang lebih meluas untuk kembali mewujudkan peluang pekerjaan yang ada sebelum ini.

 

"Namun peluang pekerjaan baharu pula mungkin sedikit sukar kerana kurangnya pelaburan, ia lebih kepada 'survival' untuk mempertahankan pekerjaan yang ada dan bukannya mencipta jawatan baharu," tambahnya lagi.

 

Isu pengangguran ini turut mendapat perhatian dan pandangan firma penyelidik MIDF Research.

 

Menurut firma tersebut, kadar pengangguran negara dijangka kembali menurun kepada 3.8% pada 2021.

 

Jangkaan yang dibuat itu dinilai kepada ramalan pemulihan pasaran buruh yang bakal berlaku pada separuh kedua 2021.

 

Baca: Pengangguran 2021 dijangka turun kepada 3.8% - MIDF

 

Rakyat Malaysia juga mungkin sedikit lega apabila  mesyuarat kedua Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menganggarkan lebih 160,000 pekerjaan baharu bakal diwujudkan bagi 2021.

 

Pasukan Petugas Khas (STF) telah membentangkan strategi bagi menangani isu pengangguran dan ketidaksepadanan pekerjaan bagi mencapai tiga objektif iaitu pemadanan modal insan berdasarkan permintaan industri, meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkasakan kerjasama di antara pihak akademik dan industri.

 

Buat rakyat Malaysia, impak dan ancaman wabak COVID-19 masih tidak dapat dijangka selain mengharapkan keberkesanan program vaksinasi dalam masa terdekat.

 

Gunakan bakat dan kebolehan diri untuk mencipta pekerjaan dan menjana pendapatan.

 

Dalam masa sama, rajinkan diri mendaftar mencari pekerjaan di portal MyFutureJobs https://www.myfuturejobs.gov.my/ yang merupakan pusat hentian setempat dan rujukan utama bagi inisiatif berkaitan pekerjaan.

 

Buat kerajaan, realisasikanlah sasaran mencipta dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat demi menghidupkan ekonomi negara.

 

Ingat, peluang pekerjaan yang bakal dibuka dan ditawarkan juga perlu dinilai kepada kelayakan, bukan hanya sekadar untuk memenuhi keperluan dalam usaha mengurangkan pengangguran. 

 

Sekiranya isu ini tidak diberi perhatian, ditambah dengan insentif kepada majikan dalam mengekalkan para pekerja tidak diperhebatkan, mungkin enjin ekonomi negara kita terus perlahan tanpa jawapan. - DagangNews.com