Masih ada ruang OPR dikurangkan - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Masih ada ruang OPR dikurangkan - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menyusut pada kadar lebih kecil pada Januari berbanding jangkaan penganalisis sebelum ini secara tidak langsung mencerminkan Malaysia kini berada dalam landasan pemulihan ekonomi. 

 

Pada Jaunuari, IHP menurun 0.2% kepada 122.1 berbanding 122.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Malah, kadar itu lebih tinggi berbanding -1.4% pada Disember 2020.

 

Sebelum ini, Bloomberg mengunjurkan IHP akan menyusut sehingga 0.8%. Bagi bulan ke bulan, kadar IHP pada Januari mencatat kenaikan tertinggi sejak Februari 2017 pada 1.2% (berbanding 0.5% pada Disember)

 

"Ini mengukuhkan pandangan kami yang kadar IHP akan kembali positif pada suku pertama ini atau sekurang-kurangnya pada awal Februari. 

 

"Sudah tentu kenaikan IHP tahun ini akan dipacu oleh prospek pemulihan ekonomi di tengah-tengah pelancaran vaksin COVID-19 yang bermula semalam dan juga harga komoditi global lebih tinggi," jelas UOB Global Economics & Markets Research dalam nota kajian. 

 

Baca : MIDF turunkan unjuran inflasi 2021 kepada 1.8%

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

 

Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula semalam akan dilaksanakan dalam 3 fasa selama 12 bulan sehingga Februari 2022. 

 

Selain itu, harga komoditi juga dijangka diniagakan lebih tinggi sekali gus akan meningkatkan permintaan sejajar dengan pemulihan ekonomi, sokongan rangsangan berterusan dan pelancaran vaksin. 

 

Langkah kerajaan melanjutkan cukai jualan kenderaan penumpang sehingga akhir Jun 2021 juga dilihat menampan tekanan inflasi. 

 

Ini mendorong UOB mengubah sasaran inflasi tahun ini kepada 2.1% (unjuran rasmi 2.5%) didorong harga minyak mentah yang tinggi.

 

Malah, firma itu menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% dalam mesyuaratnya 4 Mac ini. 

 

"Di sebalik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lemah dan lanjutan PKP 2.0, kami berpendapat, BNM kurang cederung menggunakan dasar monetari pada peringkat ini," katanya. 

 

Kadar itu dikekalkan BNM sejak September 2020 dan lebih cenderung mengambil tindakan bersasar bagi membantu segmen yang paling terjejas dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

"Kami juga melihat sentimen ekonomi semakin bertambah baik apabila kerajaan membenarkan lebih banyak ekonomi dibuka terutama dengan permulaan program vaksin," tambahnya. 

 

Sementara itu, CGS-CIMB masih terdapat ruang bagi BNM mengurangkan OPR lagi 25 mata asas kepada 1.50%.  

 

Menurut firma itu, jurang pengeluaran negatif, kadar pengangguran tinggi dan inflasi teras kekal lemah masih lagi berterusan pada tahun ini. 

 

"Kami percaya tekanan inflasi dalam IHP hanya sementara disokong sebahagian besar oleh faktor kos.

 

"Bagaimanapun, tekanan menurun dalam IHP utama dan kelonggaran PKP 2.0 memperlihatkan pasaran terhadap jangkaan dasar monetari seterusnya," katanya. - DagangNews.com