Master Tec meterai perjanjian taja jamin bersama SJ Securities bagi terbitan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Master Tec meterai perjanjian taja jamin bersama SJ Securities bagi terbitan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Master Tec, Tee Kok Hwa; Datuk Lau Kim San; Datuk Ahmad Azman dan Penasihat Pasaran Modal SJ Securities, Datuk Wan Asmadi
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Pengilang kabel dan wayar, Master Tec Group Bhd yang menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang suku pertama 2024, telah menandatangani perjanjian taja jamin dengan SJ Securities Sdn Bhd untuk sejumlah 53.144 juta saham baharu.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) Master Tec melibatkan tawaran awam sebanyak 285.6 juta saham biasa, yang terdiri daripada terbitan awam berjumlah 158.1 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 127.5 juta saham sedia ada, yang secara kolektif mewakili 28% daripada modal saham terbitan diperbesarkan kumpulan itu sebanyak 1.02 bilion saham.

 

Daripada 158.1 juta saham baharu itu, 51 juta saham baharu akan disediakan untuk permohonan orang awam Malaysia dan 2.144 juta saham baharu bagi permohonan oleh pengarah dan pekerja kumpulan berkelayakan.

 

Baki 104.956 juta saham baharu pula diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Terdapat juga tawaran untuk jualan sebanyak 127.5 juta saham sedia ada yang akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti memperoleh kelulusan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

 

Ditubuhkan pada 2006, Master Tec terlibat terutamanya dalam pembuatan dan pengedaran pelbagai jenis kabel kuasa voltan rendah, kabel kawalan dan instrumentasi, serta saiz kabel kuasa arus terus suria (DC) yang lebih besar.

 

Kumpulan itu juga terlibat dalam perdagangan dan pengedaran kabel kuasa voltan sederhana (MV), kabel gentian optik dan kabel kuasa DC solar saiz kecil, untuk memenuhi pelbagai pasaran pengguna akhir.

 

Master Tec mengendalikan tiga kilang pembuatan di Alor Gajah, Melaka, dengan jumlah kapasiti pengeluaran 9,500 tan wayar dan kabel setahun, di mana 4,000 tan adalah teras tembaga dan 5,500 tan teras aluminium.

 

Pengarah Urusan Master Tec, Datuk Lau Kim San berkata kumpulan itu bersedia untuk memanfaatkan peluang luas dalam penghantaran, pengedaran dan pelbagai ruang aplikasi pengguna akhir elektrik di Malaysia, Thailand, Singapura dan Brunei.

 

Portfolio pelanggan Master Tec merangkumi syarikat utiliti kuasa, seperti Tenaga Nasional Bhd, Sarawak Energy Bhd dan Sabah Electricity Sdn Bhd, kepada pemborong elektrik, kontraktor mekanikal dan elektrik serta pemilik projek.

 

“Dengan pembiayaan baharu yang Master Tec jangkakan untuk diperoleh daripada pelaksanaan IPO, kami merancang untuk menggunakan sebahagian daripada hasil IPO untuk membina dua kilang pembuatan baharu di Alor Gajah untuk menceburi bidang pembuatan kabel kuasa MV.

 

"Kami menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan untuk menghasilkan kira-kira 3,600 tan kabel kuasa MV setahun dan menyasarkan untuk memulakan pengeluaran kabel kuasa MV menjelang suku keempat 2024," kata Lau dalam satu kenyataan media.

 

SJ Securities ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan Master Tec untuk cadangan IPO dan penyenaraian Pasaran ACE syarikat.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SJ Securities, Datuk Ahmad Azman berkata Master Tec mempunyai kelebihan daya saing dan kubu kukuh dalam industri wayar dan kabel, terutamanya berkaitan pembuatan dan pengedaran wayar dan kabel berprestasi tinggi.

 

“Dengan pasukan pengurusan berpengalaman, kami percaya Master Tec mempunyai asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depannya dan akan terus cemerlang dalam jangka panjang. Kami berharap untuk meneruskan perkongsian kami dengan Master Tec dalam peringkat pertumbuhan seterusnya,” tambahnya.  - DagangNews.com