Matrix Concepts berada di landasan tepat capai sasaran jualan RM1.3 bilion bagi FY25 | DagangNews Skip to main content

Matrix Concepts berada di landasan tepat capai sasaran jualan RM1.3 bilion bagi FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - RHB Investment mengunjurkan Matrix Concepts Holdings Bhd berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan RM1.3 bilion pada FY25 selepas merekodkan jualan RM321.4 juta pada 1QFY25.

 

Katanya, hasil kumpulan itu dijangka meningkat pada suku berikutnya selepas kerja-kerja pembinaan bagi kebanyakan projek mencecah lebih daripada 20%.

 
Firma penyelidikan itu berkata, jualan belum dibil meningkat kepada RM1.59 bilion, daripada RM1.2 bilion pada 4QFY24.

 

"Memandangkan jualan hartanah dan jualan tidak dibilkan kekal sihat, kami menjangkakan pendapatan kumpulan akan meningkat pada suku akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung selepas cukai Matrix Concepts susut 3.5% kepada RM61.5 juta pada 1QFY25

 

Terdahulu, pada suku tahun berakhir 30 Jun 2024 itu, pendapatan kumpulan susut 15.6% kepada RM279.7 juta berbanding RM331.4 juta pada 1QFY24.

 

Penurunan itu disebabkan sumbangan hasil yang lebih rendah dari segmen pembangunan hartanah, di mana pengiktirafan hasil daripada projek utama Sendayan Developments berkurang sebanyak 16.6% kepada RM250.3 juta berbanding RM300 juta pada tahun sebelumnya.

 

RHB Investment berkata, bagaimanapun, penurunan hasil itu telah diimbangi sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen pendidikan dan hospitaliti, serta segmen penjagaan kesihatan.

 

Katanya, Pusat Perubatan Mawar, yang mula menyumbangkan hasil bermula 2HFY24, menjana pendapatan RM4.3 juta pada suku tersebut.

 

"Sementara itu, margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) kumpulan berkembang kepada 29% daripada 25% pada suku sebelumnya, mencerminkan keberkesanan usaha pengurusan kos yang berterusan serta mengoptimumkan perbelanjaan jualan dan pemasaran," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.15 sesaham. - DagangNews.com