MAVCOM luluskan 82 permohonan ATR sepanjang 2021 | DagangNews Skip to main content

MAVCOM luluskan 82 permohonan ATR sepanjang 2021

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 19 Jan -  Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah meluluskan sebanyak 82 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) bagi keseluhuran tahun 2021 dengan kadar kelulusan sebanyak 98.8%.

 

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, bagi tempoh bagi tempoh 1 Oktober 2021 hingga 31 Disember 2021 (Q4 2021), Suruhanjaya itu telah meluluskan 27 daripada 28 permohonan ATR yang dikemukakan oleh syarikat penerbangan.

 

Katanya, ia merupakan peningkatan permohonan ATR sebanyak 33.3% serta peningkatan sebanyak 28.6% bagi kelulusan ATR berbanding dengan suku ketiga tahun 2021 (Q3 2021). 

 

Ujarnya, daripada 28 permohonan ATR tersebut, 17 merupakan permohonan bagi laluan penerbangan domestik.

 

"Walaupun kita masih berhadapan dengan cabaran COVID-19, Suruhanjaya dapat menyaksikan tanda-tanda pemulihan yang menggalakkan dalam sektor penerbangan tempatan dengan peningkatan permohonan ATR bagi laluan penerbangan domestik pada Q4 2021. 

 

"Perkembangan yang memberangsangkan ini menunjukkan daya tahan sektor penerbangan yang kukuh dan mampan untuk bangkit semula ke tahap pra-pandemik. 

 

"MAVCOM berharap perkembangan ini akan berterusan dan turut menggalakkan pengguna penerbangan udara untuk merancang penerbangan mereka bagi musim perayaan dengan lebih awal untuk mengelakkan kesesakan orang ramai di lapangan terbang serta pembelian harga tiket penerbangan yang tinggi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, MAVCOM turut menerima 13 permohonan ATR bagi segmen kargo udara yang menandakan pertumbuhan sektor yang berterusan dan mampan. 

 

Beliau berkata, dari segi peruntukan ATR bagi Q4 2021 pula, Malaysia Airlines Berhad dan World Cargo Airline Sdn. Bhd. telah menerima jumlah kelulusan tertinggi dengan peruntukan sebanyak 6 ATR bagi setiap syarikat penerbangan tersebut, AirAsia Berhad (5 ATR) dan M Jets International Sdn. Bhd. telah diperuntukkan 3 ATR.

 

"Selain daripada itu, AirAsia X Berhad, FlyFirefly Sdn. Bhd. dan Malindo Airways Sdn. Bhd. masing-masing diperuntukkan 2 ATR, manakala MyJet Express Airlines Sdn. Bhd. diperuntukkan 1 ATR," katanya. -DagangNews.com