Maxis Business tawarkan perkhidmatan awan BaaS | DagangNews Skip to main content

Maxis Business tawarkan perkhidmatan awan BaaS

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Mei - Maxis terus mengukuhkan posisinya sebagai syarikat telekomunikasi terkemuka apabila menawarkan perkhidmatan awan pertama dilengkapi Back-up Sebagai Perkhidmatan (BaaS) di negara ini. 

 

Menurut Maxis, ini merupakan perkhidmatan perlindungan data pertama yang akan dilancarkan oleh pihaknya bersama-sama Commvault, sebuah syarikat yang terkemuka dalam pengurusan data dan maklumat.

 

Ketua Pengamalan Perusahaan Maxis, Claire Featherstone memberi jaminan kepada pelanggan bahawa data mereka akan dilindungi dan mematuhi piawaian industri. 

 

Claire Featherstone
Claire Featherstone

 

“BaaS Maxis tidak memerlukan sebarang pelaburan atau pembelian perkakasan, membuatkan ia mudah buat pelanggan untuk mentransformasikan perniagaan mereka secara digital tanpa sebarang pengeluaran kos. 

 

“Sebagai sebuah syarikat telekomunikasi terunggul, matlamat kami adalah untuk membekalkan perkhidmatan menyeluruh kepada pelanggan agar mereka sentiasa di hadapan dalam dunia yang sering berubah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pakej BaaS yang ditawarkan oleh Maxis merangkumi Office 365 BaaS serta Endpoint BaaS yang mempunyai fungsi masing-masing. 

 

Tambah Maxis, Office 365 BaaS menyediakan perlindungan menyeluruh buat program-program Microsoft dan sebarang dokumen atau e-mel boleh dibaik pulih sekiranya dipadam dengan tidak sengaja.

 

Endpoint BaaS pula membolehkan para pengguna untuk menyesuaikan backup secara automatik kepada komputer melalui pengoptimuman jalur lebar.

 

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Commvault APJ, Rachel Ler berkata, tawaran Commvault BaaS direka sebagai backup, untuk simpan dan memulih data dalam awan dan Maxis adalah salah satu pembekal perkhidmatan terbaik di Malaysia. 

 

Sebagai rekod, Commvault dinobatkan sebagai sebuah syarikat terunggul buat kali kesembilan berturut-turut oleh Gartner Magic Quadrant for Data Center Backup and Recovery Solutions. 

 

Penyelesaian Commvault BaaS yang diuruskan oleh Maxis ini direka dengan pelapisan keselamatan serta dibina atas modal kepercayaan sifar untuk perlindungan daripada ransomware. - DagangNews.com