Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 April - Maxis dan Celcom berisiko hilang daya saing mereka dalam menarik dan mengekalkan pelanggan apabila syarikat telekomunikasi lain mula menggunakan rangkaian 5G Digital Nasional Berhad (DNB).
Namun, bagi Kenanga Research, rangkaian 4G kedua-duanya mungkin terus menarik minat pengguna terutamanya mereka di kawasan yang tiada liputan 5G dan apabila rangkaian baharu itu mula dilancarkan.
“Kami percaya pelanggan akan terus bergantung kepada 4G selepas penutupan 3G dan pelancaran awal 5G.
“Maxis dan Celcom mungkin terus menjadi pilihan pengguna kerana kekuatan kualiti dan liputan rangkaian mereka,” jelas penganalisis di Kenanga, Lim Khai Xhiang dalam nota kajiannya hari ini.
Menerusi analisis jumlah pelanggan dan data OpenSignal, Khai Xhiang mendapati, memandangkan ramai pengguna berada di rumah, syarikat telekomunikasi yang mempunyai rangkaian paling pantas dan luas berjaya untuk bertahan.
Kata beliau, Maxis yang terkenal dengan rangkaian terpantas memperoleh lonjakan 4% pelanggan pasca bayar pada suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20) berbanding 2Q20.
Sementara itu, Celcom yang menawarkan liputan terluas menyaksikan langganan pasca bayarnya meningkat 4% selain prabayar pula melonjak 11% bagi tempoh sama, ujar Khai Xhiang.
“Sebaliknya, pangkalan pelanggan pasca bayar Digi kekal mendatar, sementara langganan prabayar pula menyusut.
“Berdasarkan data OpenSignal, UMobile menyaksikan kadar pulangan pelanggan (churn rate) tertinggi, mungkin kerana pengalaman pelanggan ekoran kualiti dan ketersediaan liputan yang lemah,” tambahnya lagi.
Pada awal tahun ini, kerajaan mengumumkan DNB akan mengambil alih spektrum dan rangkaian 5G selain syarikat telekomunikasi Big 3 (Maxis, Digi dan Celcom) mengumumkan kerjasama untuk melancarkan infrastruktur gentian.
Jelas Khai Xhiang, pihaknya tidak terkejut sekiranya terdapat lebih banyak kerjasama daripada syarikat telekomunikasi sebagai usaha untuk mengurangkan pertindihan dan penggunaan aset yang tidak cekap.
Ujarnya, Kenanga percaya usaha syarikat telekomunikasi bersama-sama untuk melancarkan infrastruktur yang mahal, seperti getian masuk akal kerana mereka berpotensi mengurangkan perbelanjaan modal dan / atau memberikan liputan yang lebih besar.
“Oleh itu, kami percaya bahawa hanya memiliki satu rangkaian 5G yang dimiliki sepenuhnya oleh DNB memberikan risiko kepada pelancaran 5G, termasuk risiko kelewatan dan kos tidak efisien, yang akan mensia-siakan salah satu hasrat awal syarikat entiti khusus (SPV) untuk membantu syarikat telekomunikasi dalam menjimatkan kos,” ujar beliau lanjut.
Kenanga mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor itu . - DagangNews.com