Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Syarikat telekomunikasi terkemuka Malaysia, Maxis berjaya memperoleh akreditasi baharu atau pengiktirafan rasmi sebagai Rakan Perundingan Lanjutan Perkhidmatan Web Amazon (AWS) pertama di negara ini.
Selain pengiktirafan berkenaan, Maxis turut menyertai Program Penyedia Penyelesaian AWS untuk mengukuhkan keupayaan perkhidmatan awan bagi membolehkan lebih banyak pelanggan Malaysia berpindah ke awan sebagai strategi IT syarikat berkenaan.
Ketua Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus berkata, bagi mendapatkan status Rakan Perundingan Lanjutan AWS, Maxis memenuhi syarat ketat untuk perakuan, pengetahuan teknikal dan rujukan pelanggan yang berjaya seperti kelengkapan untuk membantu pelanggan dalam menggunakan perkhidmatan awan.
"Maxis juga bakal menawarkan AWS Direct Connect yang direka untuk membolehkan perniagaan membuat sambungan khusus dari premis ]terus ke muatan kerja di AWS.
"Pengiktirafan ini adalah faktor penting dalam cita-cita awan kami, dan bukti kemampuan serta daya tahan rangkaian gabungan Maxis Programmable untuk perniagaan kami.
"Kami gembira dapat bekerjasama dengan AWS dalam mempermudah dan mempercepat perjalanan transformasi digital pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak menyertai Rangkaian Rakan AWS (APN), Maxis terus membina kolaborasi dengan AWS yang merupakan platform awan terunggul dan paling komprehensif di dunia.
Sementara itu, Pengarah Urusan ASEAN AWS, Conor McNamara memberitahu, pihaknya gembira dengan pengiktirafan rasmi untuk Maxis yang mempercepatkan lagi perjalanan awan syarikat berkenaan.
"Ini adalah sokongan kuat terhadap pencapaian dan komitmen berterusan mereka untuk membantu mendigitalisasikan SMB dan Perusahaan Malaysia.
"Kejayaan Maxis ini dicapai melalui pelaburan mereka dalam meningkatkan kemahiran pasukan mereka dengan perakuan AWS," jelas beliau. - DagangNews.com