Maxis jemput orang ramai sertai kempen kitar semula barangan elektronik | DagangNews Skip to main content

Maxis jemput orang ramai sertai kempen kitar semula barangan elektronik

Pusat pengumpulan barangan atau sisa elektronik
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Maxis menjemput orang ramai untuk menjadi sebahagian daripada kempen kitar semula barangan/sisa elektronik atau e-sisa, bagi membendung aktiviti pembuangan yang tidak bertanggungjawab di tapak pelupusan sampah.

 

E-sisa terdiri daripada barangan teknologi yang rosak atau tidak diingini yang mengandungi komponen toksik yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar atau menimbulkan risiko kesihatan.

 

Dengan kerjasama E-waste Recycling Through Heroes (ERTH), kempen itu mempromosikan dan menggalakkan pengitaran semula e-sisa dengan menyediakan perkhidmatan kutipan yang mudah dari premis pilihan pengguna di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

 

Ketua Pegawai Jualan dan Perkhidmatan Maxis, Patrick Er berkata, beliau berbesar hati melihat sambutan orang ramai terhadap kempen kitar semula itu yang telah dibina atas kejayaan kempen dalaman syarikat Maxis tahun ini.

 

"Kami bermula secara kecil-kecilan tetapi telah melihat momentum yang menggalakkan. Dalam jangka masa panjang, kami berharap untuk mengembangkan perkhidmatan ini ke negeri lain untuk mewujudkan kesedaran yang lebih besar tentang kitar semula e-sisa dan merekrut lebih ramai orang untuk menyertai kami dalam usaha ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pengasas ERTH, Mohamed Tarek El-Fatatry berkata, walaupun e-sisa mewakili hanya peratusan kecil sisa isi rumah, ia menyumbang 70% daripada pencemaran logam berat toksik dalam alam sekitar dan menghasilkan bahaya kesihatan sama seperti kesan plastik. 

 

"Dengan merintis projek ini bersama Maxis, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang di seluruh Malaysia untuk mengamalkan pengitaran semula e-sisa dan membuat perubahan positif untuk alam sekitar," katanya.

 

 

maxis
Patrick Er (kanan) berharap lebih ramai dapat menyertai kempen kitar semula barangan elektronik.

 

 

Melalui kempen ini, pengguna hanya perlu meminta untuk kutipan e-sisa di laman web Maxis, menyenaraikan barangan mereka untuk dikitar semula, dan menyediakan barangan tersebut untuk pungutan pada tarikh dan masa yang ditetapkan. 

 

Persatuan penduduk dan pengurusan bangunan juga boleh bekerjasama dengan ERTH untuk menganjurkan sesi kutipan e-sisa di kawasan kejiranan atau kawasan komersial mereka.

 

Sejak pelancaran kempen pada 14 Oktober lepas bersempena Hari E-Sisa Antarabangsa, Maxis dan ERTH mengumpul lebih daripada 2,000 barang e-sisa dan mengelakkan lebih 5 tan e-sisa daripada terkumpul di tapak pelupusan sampah. 

 

Kerjasama antara Maxis dan ERTH juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, memenangi Anugerah Video Kecemerlangan dalam Kelestarian di GSMA M360 Asia-Pasifik beberapa bulan sebelum ini. - DagangNews.com