KUALA LUMPUR 30 Mac - Maxis Berhad dan Microsoft Malaysia terus memanfaatkan kekuatan bersama untuk menawarkan penyelesaian digital yang inovatif untuk perniagaan di negara ini.
Langkah terbaru dalam perkongsian ini menyaksikan kedua-dua syarikat memodenkan tenaga kerja digital untuk kecekapan, kemudahan dan peningkatan produktiviti.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus berkata, melalui penyelesaian Digital Workspace, Maxis melengkapkan pelanggan dengan alat dan kesalinghubungan terbaik untuk mereka mengendalikan perkembangan perniagaan, khususnya dalam persekitaran yang semakin didorong oleh penggunaan awan.
"Kerjasama kami dengan Microsoft telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan cita-cita Maxis untuk menjadi penyedia penyelesaian konvergen terkemuka di Malaysia dan rakan teknologi pilihan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Maxis Digital Workspace diperkenalkan untuk meningkatkan produktiviti pelanggan, dengan kos pemilikan yang rendah serta rangkaian alat kerja digital yang merangkumi semua penyambungan data terbina dengan bayaran langganan bulanan yang berpatutan.
Dengan Microsoft Office 365, pekerja dapat memanfaatkan produktiviti awan dan alat kerjasama Teams, lengkap dengan ciri keselamatan berlapis.
Semua ini dikuasakan oleh rangkaian 4G LTE terkemuka Maxis, yang membolehkan kesalinghubungan yang sentiasa aktif untuk kerja jarak jauh dan fleksibiliti kumpulan data yang dapat dikongsi di antara peranti dengan Maxis Business Postpaid mereka.
Pelanggan yang mendaftar untuk Maxis Digital Workspace dapat memilih peranti Microsoft Surface dengan penyesuaian peranti ini untuk pesanan korporat yang lebih besar berdasarkan keperluan penggunaannya. Maxis adalah telko Malaysia pertama yang menjadi Wakil Penjual Sah Surface.
Secara dasarnya, perkongsian Maxis dan Microsoft bermula setahun lalu, dan telah berkembang dengan cepat.
Maxis adalah Rakan Kongsi Emas Microsoft yang memberikan teknologi Awan terkemuka industri kepada pelanggan dalam bidang perniagaan yang khusus
Sementara itu, Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia, K. Raman berkata, perniagaan di Malaysia menyesuaikan diri dengan perubahan besar dalam cara bekerja dengan kerja jarak jauh semakin meningkat, dan keselamatan tetap menjadi keutamaan.
"Sambil perniagaan mempercepat transformasi digital mereka, kami berbesar hati dapat memperkukuhkan kerjasama dengan Maxis, dengan pelantikannya sebagai telko pertama di Malaysia yang menjadi Wakil Penjual Sah Surface.
"Bersama Maxis, kami berharap dapat memperkasakan pelanggan kami agar lebih terhubung, mudah bergerak dan produktif,” katanya. - DagangNews.com