PAUL MCMANUS (kiri) dan Selvakumar Rajasekaran (kanan) pada pelancaran MPN secara maya hari ini.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 9 Feb. – Rangkaian internet baharu yang ditawarkan Maxis iaitu Maxis Programmable Network (MPN) mampu mengubah ‘rentak’ digital sesebuah perniagaan di negara ini.
Ini susulan MPN memberi kebebasan kepada perniagaan untuk mengubah skala langganan jalur lebar mereka, malah hanya dalam tempoh sehari.
Menurut sebuah kenyataan oleh syarikat telekomunikasi itu, MPN mengaktifkan ciri utama untuk perniagaan iaitu Bandwidth on Demand yang membolehkan perniagaan untuk meningkatkan jalur lebar mereka pada bila-bila masa.
Dalam erti mudah, MPN merupakan rangkaian perisian yang pertama boleh diprogramkan di Malaysia.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus berkata, MPN menawarkan ketangkasan dan kawalan yang memudahkan perniagaan untuk menyeimbangkan kos dan prestasi mereka.
“Melalui ciri Bandwidth on Demand, pelanggan boleh mendapatkan jalur lebar serta-merta dan membayar mengikut hanya yang diperlukan.
“Pelancaran MPN adalah tepat pada masanya, kerana perniagaan harus bertindak balas dan menyesuaikan diri mereka dengan landskap digital yang berkembang pesat, sambil memastikan kecekapan kos,” katanya dalam sebuah kenyataan sama, hari ini.
MPN dilancarkan hari ini secara maya, dan turut serta, Ketua Produk Perusahaan Maxis, Selvakumar Rajasekaran.
Rangkaian itu memenuhi keperluan semua perusahaan untuk penggunaan suara dan data tetap mereka telah direka untuk memberikan ketangkasan, kawalan, kebolehskalaan dan juga keupayaan.
Untuk memanfaatkan MPN sepenuhnya, pelanggan hanya perlu log masuk atau mendaftar di Maxis Business Hub untuk mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan atas permintaan termasuk Bandwidth on Demand.
Waktu nyata Bandwidth on Demand tersedia dengan enam perkhidmatan jalur lebar perusahaan tetap: Dedicated Internet Access, Managed SD-WAN, Cloud Connect, Multi-Protocol Label Switching VPN, Data Centre Connect, dan Domestic Private Leased Circuit.
Perniagaan boleh meningkatkan jalur lebar mereka dengan menekan butang di portal layan diri baharu dalam Maxis Business Hub.
Simpanan data yang berat, aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan juga boleh dilakukan dengan lebih efektif, memberikan penjimatan sehingga 30%. – DagangNews.com