Maybank Asset Management lancar 'Dana Maybank Asia Mixed Assets-I' | DagangNews Skip to main content

Maybank Asset Management lancar 'Dana Maybank Asia Mixed Assets-I'

Pelancaran maya Dana Maybank Asia Mixed Assets-I (Dana)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) melancarakan Dana Maybank Asia Mixed Assets-I (Dana) yang merupakan dana aset campuran Patuh Syariah yang pertama.

 

Dana berkenaan menggabungkan kepakaran Pengurusan Dana dan teknologi Pelaburan Quant bagi menyediakan keputusan terbaik.

 

Dana akan memanfaatkan Dana Maybank Asian Growth and Income-I (Dana Sasaran) yang diuruskan oleh Maybank Asset Management Singapore Pte Ltd. 

 

Dana Sasaran itu ialah unit amanah terbuka yang didaftar dan dibentuk di Singapura. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Asset Management, Ahmed Muzni Mohamed berkata, pelaburan minimum sebanyak 90% daripada nilai aset bersih (NAV) dalam Kelas 1 - nilai USD dana sasaran dan maksimum 10% daripada NAV Dana ke dalam aset cair untuk mencapai matlamatnya.

 

“Kemajuan pesat dalam teknologi kini membolehkan pelabur beroleh akses kepada kecerdasan yang dipertingkat dan kuasa pembelajaran Pelaburan yang digabungkan bersama pengurusan aktif oleh Pengurus Dana kami untuk mencapai kepelbagaian portfolio yang optimum.

 

"Menerusi kelebihan penggerak awal ini, pelabur boleh mengakses pasaran di Asia dan berpeluang menikmati pulangan yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelaburan Quant mengurangkan pengaruh emosi manusia, sebaliknya memberi penekanan kepada analisis matematik dan statistik untuk menentukan nilai sesuatu saham, bon atau aset lain. 

 

Berdasarkan data kuantitatif, ia berupaya mengenalpasti trend dengan pantas dan mengambil kesempatan daripada ketakcekapan pasaran. 

 

Menerusi Dana itu, pelabur berpeluang memanfaatkan kelebihan dua dunia iaitu kepelbagaian portfolio dan potensi pulangan yang lebih tinggi serta konsisten.

 

Tambah beliau lagi, Dana berkenaan amat bersesuaian bagi pelabur yang ingin mendapatkan pertumbuhan modal dan pendapatan, memiliki toleransi risiko tinggi, selesa dengan pendedahan dana, serta polisi dan pendekatan dana Islam.

 

Matawang asas Dana itu ialah MYR dan ditawarkan dalam dua kelas matawang iaitu Kelas MYR dan Kelas USD. 

 

Amaun pelaburan minimumnya pula ialah RM1,000 atau USD1,000. 

 

Pelabur boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Dana berkenaan di www.maybank-am.com.my dan melabur menerusi pengedar sah Maybank Asset Management, cawangan Maybank, dan Maybank2u. - DagangNews.com