KUALA LUMPUR 24 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) sekali lagi melahirkan kebimbangan terhadap risiko penutupan lebih banyak cawangan pengendali nombor ramalan (NFO) sekiranya berlaku perubahan kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada 1QFY24.
Penganalisis Maybank IB, Yin Shao Yang berkata, unjuran pendapatan akan dipotong sebanyak 52% sekiranya berlaku perubahan kepimpinan di ketiga-tiga negeri itu.
Katanya, sekiranya kerajaan negeri Selangor berubah, anggaran pendapatan jangka panjang akan dipotong sebanyak 33%
"Jualan kasar NFO bagi 3QFY23 adalah melebihi jangkaan kami. Pendapatan teras mereka juga adalah lebih tinggi daripada jangkaan namun pemberian dividen mereka adalah mengecewakan.
"Bagaimanapun kami tetap berhati-hati dengan kemungkinan lebih banyak cawangan NFO akan ditutup sekiranya kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan bertukar semasa pilihan raya negeri," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, untung bersih teras 3QFY23 sebanyak MYR22.7 juta membawa keuntungan bersih teras 9MFY23 kepada MYR159.1 juta iaitu 79% daripada anggaran mereka.
"Sekali lagi, kami berpendapat bahawa Sports Toto Berhad sedang menjimatkan wang sekiraya lebih banyak cawangan NFO ditutup selepas pilihan raya negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM1.04 sesaham. - DagangNews.com