Maybank IB jangka hasil RP2 Petronas Gas lebih baik bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka hasil RP2 Petronas Gas lebih baik bagi FY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan hasil tarif tempoh kawal selia kedua (RP2) Petronas Gas Berhad (PetGas) lebih baik dengan tarif pengangkutan lebih tinggi daripada jangkaan bagi mengimbangi tarif regas Pengerang yang lebih rendah.  

 

Firma itu berkata, walaupun butiran kawal selia masih belum didedahkan, ia menyatakan bahawa tarif pengangkutan untuk RP2 (2023-2025) telah ditetapkan pada RM1.069 GJ sehari, penurunan 5.8% daripada RM1.129 GJ setiap hari dalam RP1.

 

"Keadaan itu lebih baik daripada jangkaan kami mengenai penurunan kira-kira 20%.

 

"Butiran kawal selia belum didedahkan, oleh itu tidak jelas sama ada tarif yang lebih tinggi daripada jangkaan adalah disebabkan oleh kos purata wajaran modal/perbelanjaan modal (pendapatan-akretif) atau perbelanjaan mengurus (pendapatan-neutral)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu katanya, tarif regas RP2 telah ditetapkan pada RM3.455 GJ sehari (tidak berubah) untuk loji Melaka dan RM3.165 GJ sehari (-9.2%) untuk loji Pengerang.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebayak RM17.40 

 

Antara syarikat utiliti gas, firma itu memilih Gas Malaysia Berhad dengan saranan 'beli' dengan TP RM3.80, disebabkan tarif asas pengedaran yang tidak berubah.

 

“Kami menjangkakan tebaran kekal tinggi pada suku keempat 2022 (4QFY22) dan 1QFY23 atas harga gas yang lebih tinggi. 

 

"Tarif asas pengedaran Gas Malaysia untuk tempoh kawal selia baharu (2023-2025) akan dikekalkan pada RM1.573 GJ sehari (atau kira-kira RM1.88 setiap mmBTU dalam anggaran kami),” katanya.

 

Pelaksanaan sepanjang 2023 untuk pemulangan lebihan hasil tidak akan memberi kesan ke atas untung dan rugi Gas Malaysia, kerana syarikat mengakru pelarasan had hasil setiap suku tahun.

 

“Kami menjangkakan pendapatan yang lebih tinggi secara berurutan untuk 4QFY22 dan 1QFY23 dengan harga gas masih meningkat dan segmen pengedaran terlindung daripada pengurangan permintaan," katanya. - DagangNews.com