Maybank IB jangka pembayaran dividen sifar TH Plantations bagi FY23-FY24 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka pembayaran dividen sifar TH Plantations bagi FY23-FY24

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Ogos - TH Plantations Bhd. dilihat akan berdepan prestasi kewangan separuh kedua yang lebih lemah disebabkan penurunan harga jualan purata (ASP) minyak sawit mentah.

 

Ini berdasarkan kepada ASP minyak sawit mentah pada suku kedua sebanyak RM5,156 satu tan metrik, lebih rendah berbanding harga pasaran berikutan jualan hadapan lebih awal.

 

Menurut Maybank Investment Bank (IB), penggunaan baja kumpulan dianggarkan kira-kira 30%, belum mencapai sasaran dirancang pada separuh pertama 2022. 

 

Katanya, pengeluaran tandan buah segar bagi tempoh itu juga hanya memenuhi 41% daripada anggarannya, di bawah purata 44%.

 

"Namun, kumpulan yakin dapat meningkatkan pengeluaran ini pada separuh kedua sekiranya pekerja asing kembali semula ke ladang sawit menjelang September atau Oktober ini

 

"Tetapi, buat masa ini, kami mengurangkan pengeluaran tandan buah segar bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 7% (daripada pertumbuhan mendatar tahun ke tahun).

 

"Bagi suku ketiga pula, kumpulan memberi panduan jualan hadapannya kira-kira 15% daripada anggaran pengeluaran dengan purata harga RM4,650 satu tan metrik," katanya dalam nota kajian.

 

Baca : Untung bersih TH Plantations susut 63% kepada RM9.76 juta pada suku kedua, jangka masalah buruh akan berlarutan

 

Untung bersih TH Plantations susut 63% kepada RM9.76 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM26.57 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan bagi tempoh itu meningkat 42.2% kepada RM250.45 juta daripada RM176.15 juta.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, keuntungan bersih susut kepada RM31.35 juta daripada RM41.53 juta, sebaliknya pendapatan meningkat 46% kepada RM448.6 juta daripada RM307.4 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Kumpulan merekodkan pendapatan yang lebih baik disumbangkan oleh harga realisasi purata yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah sebanyak RM5,346 satu tan metrik dan isirung sawit sebanyak RM3,960 satu tan metrik bagi tahun ke tahun walaupun volum pengeluaran sedikit rendah.

 

Menurut Maybank IB, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) bagi suku kedua adalah tersasar daripada jangkaannya berikutan kos yang lebih tinggi dan pengeluaran lebih rendah daripada jangkaan.

 

Dengan mengambil kira penurunan yang terhad, firma itu menaikkan penarafan TH Plantations kepada 'pegang' daripada 'jual' sebelum ini dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada 55 sen.

 

Firma itu berkata, di sebalik penggearan bersihnya yang tinggi sebanyak 116% setakat akhir Jun, dan perancangannya untuk mengurangkan kunci kira-kira melalui pelupusan aset, TH Plantations mengejutkan pasaran dengan dividen interim sebanyak 1.5sen.

 

"Kami percaya ini berkemungkinan sekali sahaja dan oleh itu kami terus menganggap nisbah pembayaran dividen sifar untuk FY23 hingga FY24," katanya.

 

Secara keseluruhan, Maybank IB mengurangkan unjuran pendapatan bagi FY22, FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 35%, 2% dan 3% berikutan pengeluaran yang lebih rendah (bagi FY22) dan kos dianggar lebih tinggi.

 

Setakat 10.48 pagi, harga saham TH Plantations menokok 1 sen atau 1.8% kepada 56.5 sen dengan 59,200 saham diniagakan. - DagangNews.com