Maybank IB kekal unjuran pertumbuhan pinjaman industri sebanyak 4.6% pada tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal unjuran pertumbuhan pinjaman industri sebanyak 4.6% pada tahun hadapan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman industri sebanyak 4.6% pada 2024.

 

Meskipun margin faedah bersih (NIM) hanya berkembang sedikit pada suku ketiga tahun ini tetapi mereka menjangkakan persaingan deposit akan berlaku pada suku keempat tahun ini.

 

"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan NIM akan dimampatkan sebanyak 25 mata asas (bps) pada 2023, tetapi stabil sehingga 2024 dengan purata pengembangan 2bps.

 

"Kami mengekalkan andaian kos kredit dan mengira kos kredit purata sebanyak 25/24bps pada 2024/25(24bps pada 2023)," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, menjelang 2024, pihaknya mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih teras sebanyak 5.8%, didorong pertumbuhan keuntungan operasi sebanyak 6.2%.

 

Bagaimanapun, sebahagiannya dikurangkan oleh purata kos kredit agregat yang lebih tinggi sebanyak 25bps berbanding 24bps pada 2023.

 

"Kami mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih teras sebanyak 6.5% pada 2025 dengan pertumbuhan keuntungan operasi sebanyak 5.9%.

 

"Kami menjangkakan pulangan ke atas ekuiti (ROE) dengan purata 10.2% pada FY24/25E berbanding 10.4% pada FY23," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' terhadap CIMB Group Holdings Berhad, Public Bank Berhad, AMMB Holdings Berhad (AmBank), Hong Leong Financial Group Berhad, Hong Leong Bank Berhad dan Alliance Bank Malaysia Berhad.

 

Bagaimanapun, sektor itu berdepan beberapa risiko termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih lemah daripada jangkaan yang boleh membawa kepada pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan dan isu aset kualiti dan pertumbuhan lebih perlahan dalam akaun semasa dan simpanan (CASA).

 

Selain itu, sektor itu juga berdepan tekanan inflasi dan kesan negatif terhadap penggunaan dan kuasa berbelanja. - DagangNews.com