KUALA LUMPUR 11 Sept - Maybank Investment Babk (Maybank IB) positif terhadap prospek pendapatan Frontken Corporation Bhd pada separuh kedua 2024 didorong pendedahan kepada sektor minyak dan gas (O&G) yang diperoleh daripada segmen kejuruteraan dalam pasaran Malaysia, Singapura dan Filipina.
Katanya, pasaran Malaysia menyumbang antara 70% hingga 80% daripada peroleh subsegment O&G terutama daripada kontrak dengan Petronas.
"Frontken merupakan subkontraktor Petronas yang diluluskan untuk kerja-kerja huluan dan hiliran.
"Margin perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) segmen O&G berada dalam angka tunggal yang tinggi (berbanding margin semikonduktor pasaran Malaysia dan Singapura dalam julat dua digit)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun perolehan di pasaran Malaysia pada suku kedua 2024 kumpulan itu merosot, pengurusan menekankan operasi O&G Frontken sebelum ini tidak pernah merugikan.
Katanya, berdasarkan aliran pesanan kerja bulanan pada Julai/Ogos, pengurusan menjangkakan perolehan segmen akan meningkat semula dari suku thun ke suku tahun pada suku ketiga tahun ini.
"Operasi semikonduktor Malaysia yang terjejas akibat kebakaran kilang di Kulim pada Mei 2024 beroperasi melebihi penggunaan pulang modal, dengan pemulihan penuh dijangka menjelang suku keempat tahun ini.
"Pengrusan kumpulan itu juga memberi panduan ia akan membayar balik kira-kira separuh daripada kerugian akibat kebakaran sebanyak RM1 juta melalui tuntutan insurans pada separuh kedua 2024," katanya.
Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.20 sesaham. - DagangNews.com