Maybank IB syor 'beli' saham Bank Islam, kedudukan kualiti aset kukuh | DagangNews Skip to main content

Maybank IB syor 'beli' saham Bank Islam, kedudukan kualiti aset kukuh

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Bank Islam Malaysia Bhd. memperoleh penilaian munasabah berdasarkan kedudukan kualiti aset yang kukuh, tahap penawaran tinggi dan kedudukan modal yang baik. 

 

Dengan mengambil kira faktor ini, Maybank Investment Bank (IB) Research mengesyorkan saranan 'beli' bagi saham Bank Islam dengan harga sasaran pada RM3.80. 

 

Jumaat lalu, Bank Islam mengambil alih status penyenaraian BIMB Holdings Bhd. daripada Pasaran Utama Bursa Securities setelah melengkapkan proses penstrukturan kumpulan yang kini menyaksikan BIMB akan menjadi anak syarikat milik penuhnya. 

 

"Dengan penyenaraian ini, Bank Islam kini boleh dinilai sebagai entiti yang berdiri sendiri. 

 

"Tetapi, ini tidak mengurangkan hakikat bahawa Bank Islam akan meneruskan perjanjian bancassurance dengan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd. (Takaful Malaysia) kerana ia boleh memberi hasil yang stabil menerusi pendapatan yuran," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Bank Islam kini institusi perbankan Islam tulen, lengkap disenaraikan di Bursa Malaysia

 

Menurut Maybank IB, Bank Islam menyediakan para pelabur dengan pendedahan kepada bank islamik keempat terbesar di negara ini, dari segi saiz aset dan menjadi satu-satunya yang disenaraikan di papan utama.  

 

Firma itu melihat Bank Islam lebih cenderung berperanan sebagai bank peruncitan dengan pengguna kewangannya merangkumi 76% daripada portfolio pembiayaan. 

 

"Meskipun pembiayaan lebih tertumpu kepada penjawat awam dan kakitangan syarikat milik kerajaan (GLC), tetapi kedudukan kualiti asetnya adalah stabil dengan nisbah pembiayaan terjejas kasar (GIL) susut kepada 0.72% setakat akhir Jun 2021 daripada 0.86% pada akhir September 2019 (sebelum pandemik).

 

"Sebaliknya, peruntukan kerugian pembiayaan, meningkat kepda 235% berbanding 179% dalam tempoh tersebut. Selain itu, nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) juga kekal pada 38.6% (berbanding industri, 31.7%) dengan nisbah Common Equity Tier 1 (CET1) stabil pada 13.8%," jelasnya.

 

Pada masa sama, Maybank IB juga berpendapat, sebagai antara bank yang mampu menjana pulangan ekuiti (ROE) melebihi 10%, Bank Islam ketika ini diniagakan dengan prospektif PBV bagi tahun kewangan 2022 hanya 0.9x, tidak setanding dengan ROEnya.

 

"Kami turut membuat andaian secara konservatif dengan menjangkakan nisbah bayaran dividen yang lebih rendah sebanyak 45% (berbanding 50% sebelumnya) manakala prospek hasil dividen tahun kewangan 2021 sebanyak 4.8% adalah menarik," tambah firma itu. 

 

Setakat 10.33 pagi, saham Bank Islam menokok 2 sen atau 0.64% kepada RM3.16 dengan 346,000 saham diniagakan. - DagangNews.com