Maybank IB turunkan unjuran pendapatan Berjaya Food sebanyak 15% bagi FY24 kesan tindakan boikot berterusan | DagangNews Skip to main content

Maybank IB turunkan unjuran pendapatan Berjaya Food sebanyak 15% bagi FY24 kesan tindakan boikot berterusan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan Berjaya Food sebanyak 15% bagi FY24 kesan daripada  ketegangan politik yang menjurus kepada tindakan boikot berterusan terhadap Starbucks.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan semakan mereka, jualan di dalam kedai juga terkesan dan lebih teruk berbanding jangkaan sebelum ini.

 

Katanya, walaupun perbelanjaan musim perayaan dari segi sejarah menghasilkan pendapatan suku kedua yang lebih kukuh mengikut musim dan mereka percaya keadaan itu tidak akan berlaku pada 2QFY24 kerana purata jualan setiap kedai merosot dengan ketara.

 

"Kumpulan itu mengadakan promosi minuman dengan agresif bagi menaikkan semula kehadiran pelanggan tetapi pada masa sama memberi impak kepada margin keuntungan.

 

"Kami percaya ekuiti jenama Berjaya Food berdepan risiko sekiranya keadaan itu berterusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kempen boikot produk yang dilihat menyokong keganasan Israel masih berterusan malah bertambah rancak di media sosial membuatkan outlet jenama terkenal seperti Starbucks semakin lengang dan membuatkan jualan mereka semakin merosot.

 

Gerakan boikot terhadap jenama kopi terkemuka itu mungkin berlarutan lebih lama daripada jangkaan, sekiranya tiada penyelesaian jangka dekat untuk konflik Israel-Hamas.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 52 sen berbanding 63 sen sesaham. - DagangNews.com