KUALA LUMPUR 5 Dis - Maybank Investment Bank (IB) menjangkakan harga minyak mentah Brent kekal tinggi tahun ini sekitar AS$100 setong memandangkan musim sejuk yang semakin hampir dan risiko geopolitik terus meningkat.
Penganalisisnya, Liaw Thong Jung berkata, kenaikan harga minyak akan terus memberi manfaat kepada Petronas pada suku keempat ini yang dijangka merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM100 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).
Seperti dijangka, katanya, syarikat minyak dan gas negara itu merekodkan prestasi suku ke suku yang kukuh dengan keuntungan bersih teras sebanyak RM25 bilion pada suku ketika, menjadikan hasil bagi tempoh sembilan bulan meningkat kepada RM72 bilion dipacu pengeluaran dan harga minyak yang lebih tinggi sekitar AS$103 setong.
"Peningkatan itu mencerminkan sasaran kami bagi Petronas berada dalam landasan untuk mencatat keuntungan sebanyak RM100 bilion bagi tahun ini ekoran harga minyak yang dijangka kekal tinggi.
"Kami juga tidak menolak kemungkinan unjuran harga minyak yang lebih tinggi pada tahun hadapan memandangkan kekangan berterusan dalam pasaran bekalan global, disebabkan struktur kurang pelaburan yang berpanjangan sejak 2015," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku ketiga, Petronas mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM30.8 bilion, meningkat 89% berbanding RM16.3 bilion pada suku sama tahun sebelumnya dengan pendapatan juga meningkat 60.5% kepada RM99.2 bilion daripada RM61.8 bilion.
Ia berikutan impak harga yang memberangsangkan bagi produk utama dan impak menggalakkan tukaran asing.
Untuk tempoh kumulatif sembilan bulan 2022, syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM77.2 bilion, meningkat 119.9% berbanding RM35.1 bilion dalam tempoh sama 2021 manakala pendapatannya meningkat 58.3% kepada RM271.3 bilion berbanding RM171.4 bilion.
Dalam tempoh sembilan bulan 2022, aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) meningkat kepada RM83.1 bilion.
Jumlah aset Petronas bertambah kukuh kepada RM725.6 bilion pada 30 September 2022 berbanding RM635.0 bilion pada 31 Disember 2021.
Pelaburan modal kumpulan (capex) berjumlah RM27.4 bilion, meningkat 34% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut Thong Jung, dengan peningkatan capex domestik sebanyak RM2 bilion tahun ke tahun, ia akan memberi manfaat kepada pemain perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan.
Katanya, Petronas juga mempergiatkan usahanya dalam pengurangan pelepasan karbon dan meningkatkan peruntukan pelaburan bagi projek neutral karbon.
"Oleh itu, Petronas akan memperuntukkan sebanyak 20% daripada perbelanjaan modalnya untuk projek nyahkarbon dan pengembangan kepada penyelesaian tenaga yang lebih bersih dalam tempoh lima tahun akan datang (2023-2036).
"Selain itu, seperti dalam kenyataannya sebelum ini, Petronas menyasarkan peningkatan 50% dalam aliran tunai daripada operasinya menjelang 2025 dan peningkatan 30% dalam hasil menjelang 2030," jelasnya.
Petronas menetapkan sasaran jangka pendek untuk menghadkan pelepasan operasi kepada 49.5 juta tan karbon dioksida menjelang 2024 di Malaysia dan mencapai 25% pengurangan pelepasan mutlak bagi seluruh kumpulan menjelang 2030.
Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor minyak dan gas. - DagangNews.com