Maybank lanjut waktu operasi hingga 7 malam | DagangNews Skip to main content

Maybank lanjut waktu operasi hingga 7 malam

Maybank

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Malayan Banking Bhd (Maybank) akan melanjutkan waktu operasinya hingga pukul 7 malam bermula 21 September 2020.

Maybank dalam satu kenyataan berkata, lanjutan waktu operasi itu adalah susulan penganjuran siri jerayawara di seluruh negara.

"Maybank akan menganjurkan siri jerayawara pada dua hujung minggu akan datang hingga moratorium berakhir pada 30 September ini.

"Maybank juga akan melanjutkan waktu operasi hingga pukul 7 malam bermula 21 hingga 30 September 2020 bagi semua cawangannya di seluruh negara kecuali cawangan yang berada di Zon Merah COVID-19," jelas Maybank. 

Jerayawara yang dilangsungkan pada dua hujung minggu itu adalah untuk menerangkan berkaitan proses pembayaran balik pinjaman dan pakej yang ditawarkan oleh Maybank.

Maybank menawarkan pakej Bantuan Pembayaran Balik yang khas untuk membantu pelanggan menangani cabaran kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Tambah Maybank, jerayawara dan lanjutan waktu operasi di cawangannya itu adalah inisiatif pihaknya untuk membantu memudahkan pelanggan dalam kategori individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Kami juga seru pelanggan yang memerlukan sokongan tambahan untuk datang dan berjumpa dengan penasihat kewangan kami atau membuat permohonan pembayaran balik.

"Pelanggan tidak perlu membuat sebarang janji temu, mereka hanya perlu datang ke cawangan dan pusat Maybank yang ditentukan," jelas Maybank lagi.

Pelanggan juga perlu membawa beberapa dokumen sokongan seperti slip gaji atau penyata bank bagi mempercepatkan proses yang berkaitan.

Pihak Maybank turut menyediakan tiga saluran lain untuk memohon pakej Bantuan Pembayaran Balik sekiranya pelanggan tidak dapat menghadiri jerayawara berkenaan.

Tiga saluran tersebut iaitu Maybank2u, emel weassist@maybank.com atau terus berhubung dengan cawangan, pusat PKS atau Pusat Kewangan Auto di seluruh negara. - DagangNews.com