KUALA LUMPUR 25 April - Maybank memohon maaf atas gangguan urus niaga yang berlaku menerusi web Maybank2u, Aplikasi M2U, Aplikasi MAE dan penggunaan kad Debit yang bermula pada pukul 9 pagi hari ini.
Bank itu dalam satu kenyataan berkata, gangguan itu adalah susulan volum trafik tinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini di seluruh platformnya.
"Maybank ingin memohon maaf kepada pelanggan yang mengalami gangguan perkhidmatan di web Maybank2u, M2U App, MAE App dan penggunaan kad Debit hari ini.
"Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan dan memulihkan perkhidmatan sebaik mungkin. Kami memberi jaminan bahawa baki dan butiran akaun anda kekal selamat bersama kami.
"Kami menghargai sikap bertimbang rasa dan kesabaran pelanggan kami dan akan terus memaklumkan kepada mereka secara berkala melalui media sosial rasmi Maybank dan platform M2U," katanya.
BACA JUGA: Pengguna Maybank panik baki akaun 'hilang', berang sistem tergendala
Untuk bantuan dan kemas kini lanjut, pelanggan boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di talian 1-300-88-6688 (Malaysia) atau +60378443696 (Luar Negara) atau mengikuti/berkomunikasi dengan bank melalui platform media sosialnya. - DagangNews.com