Maybank sedia kemudahan pembiayaan, lindung nilai bagi kilang metanol Sarawak Petchem | DagangNews Skip to main content

Maybank sedia kemudahan pembiayaan, lindung nilai bagi kilang metanol Sarawak Petchem

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - Maybank menyediakan kemudahan pembiayaan dan lindung nilai kepada Sarawak Petchem bagi kilang pengeluaran metanol pertamanya yang dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

Terletak di Tanjung Kidurong, Bintulu, kilang itu mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan 1.75 juta tan metanol setahun, menjadikannya antara kemudahan pengeluaran metanol terbesar di Asia Pasifik.

 

Kilang itu dibiayai melalui struktur berbilang peringkat yang menggabungkan Program Sukuk Wakalah sebanyak RM4 bilion, kemudahan pembiayaan berjangka bersindiket sebanyak AS$380 juta (RM1.78 bilion) dan kemudahan lindung nilai.

 

Maybank Investment Bank (Maybnak IB) berkhidmat sebagai penasihat utama bersama, penyusun utama bersama dan pengurus utama bersama dalam sukuk wakalah, dan penyusun utama bermandat dan penyusun puku untuk pembiayaan bersindiket.

 

Maybank memudahkan Sarawak Petchem dalam menguruskan pendedahan mata wang asing dan risiko kadar pembiayaan melalui pelbagai kemudahan lindung nilai tersebut, selain menyediakan jaminan bank untuk menyokong operasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global Maybank, Datuk John Chong berkata, kilang itu akan menjadi pemangkin bagi melanjutkan rantaian nilai industri hiliran minyak dan gas dan mengubah Sarawak menjadi hab petrokimia di rantau ini.

 

Ia juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia Timur dan menarik pelaburan langsung asing yang pelbagai, meningkatkan ekonomi negeri dan menyumbang kepada kemakmuran masa depan.”

 

"Pembiayaan kami menawarkan Sarawak Petchem fleksibiliti dan keupayaan untuk melindung nilai dan mengoptimumkan modal kerja.

 

"Dengan menawarkan rumusan kewangan yang disesuaikan, kami membolehkan syarikat mengurus aliran tunai dengan cekap dan mengurangkan risiko yang berkaitan dengan turun naik pasaran," katanya.- DagangNews.com