Maybank umum pelantikan Mohamed Rezwan sebagai Ketua Pegawai Risiko Kumpulan  | DagangNews Skip to main content

Maybank umum pelantikan Mohamed Rezwan sebagai Ketua Pegawai Risiko Kumpulan 

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Maybank mengumumkan pelantikan Mohamed Rezwan Abdullah Ismail sebagai Ketua Pegawai Risiko Kumpulan (GCRO) berkuat kuasa 8 Ogos 2024.

 

Mohamed Rezwan akan bertanggungjawab untuk menyusun strategi, memimpin dan melaksanakan rangka kerja pengurusan risiko organisasi secara progresif dengan mengenal pasti, mengurus dan mengurangkan risiko untuk mancapai objektif strategik dan perniagaan Kumpulan Maybank.

 

Beliau akan melapor kepada Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) Maybank dan menjadi ahli Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan.

 

Mohamed Rezwan, 48 tahun, akan menggantikan Datuk Hamzah Bachee yang akan bersara daripada Kumpulan Maybank berkuat kuasa 8 Ogos 2024, selepas berkhidmat hampir 36 tahun dengan Maybank.

 

Dengan kerjaya perbankan yang menjangkau lebih daripada 25 tahun, termasuk peranan semasanya sebagai Timbalan GCRO, Mohammed Rezwan memainkan peranan penting dalam penilaian dan transformasi fungsi risiko kritikal, menyumbang kepada amalan pengurusan risiko proaktif di mana ia telah menambah baik penjajaran risiko Bank sejajar dengan keperluan kawal selia dan perniagaan.

 

Beliau kini bertanggungjawab untuk meningkatkan pengenalpastian dan pengukuran risiko, menerapkan pengurusan risiko iklim, dan melaksanaan rangka kerja Basel III yang disemak semula.

 

Mohamed Rezwan adalah seorang profesional dengan pengalaman lebih daripada 25 tahun, terutamanya dalam bidang pengurusan dan kawal selia perbankan. Kerjaya beliau bermula di Bank Negara Malaysia dengan perkhidmatan selama 19 tahun, di mana beliau telah berkhidmat sebagai Pengarah Penyeliaan Konglomerat Kewangan.

 

Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Risiko dan Pematuhan untuk Lembaga Tabung Haji, dan Ketua Pegawai Risiko di Bank Muamalat Malaysia Berhad, sebelum menyertai Kumpulan Maybank sebagai Ketua Pegawai Risiko dan Pematuhan Etiqa International Holdings dan pelantikannya sebagai Timbalan GCRO pada 1 Julai 2023. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Michigan State University.

 

 

Dato’ Khairussaleh Ramli
                  Dato’ Khairussaleh Ramli

 

 

PGCEO Maybank, Dato’ Khairussaleh Ramli berkata pelantikan ini menunjukkan keberkesanan perancangan penggantian dalaman dan selaras dengan dasar pengurusan bakat Maybank untuk mengukuhkan dan mempergiatkan pembinaan kapasiti dalaman Bank.

 

“Pengalaman luas Rezwan dalam amalan pengurusan risiko dan pematuhan, ditambah pula dengan pengalamannya dalam mengurus keperluan kawal selia sebelum ini akan membolehkan beliau menyumbang ke arah mengukuhkan pengurusan risiko ke seluruh operasi organisasi, serta menyokong aspirasi kemajuan Kumpulan, khususnya menerusi strategi M25+.”

 

Khairussaleh menambah, Kumpulan Maybank ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Hamzah atas sumbangan besar, perkhidmatan dan komitmen beliau selama ini dalam membentuk organisasi berprestasi tinggi di rantau ini.

 

“Melalui kepimpinannya, beliau telah memupuk budaya kesedaran risiko yang kukuh di seluruh Kumpulan, menerajui inisiatif transformasi bagi unit luar negara kami, memperkemas amalan pengurusan risiko dan memacu amalan pengurusan kualiti aset secara berkesan. Ini telah menyumbang ke arah meningkatkan kedudukan Maybank sebagai jenama yang dipercayai untuk pelanggan kami.” - DagangNews.com