Maybank untung RM2.39 bilion suku pertama | DagangNews Skip to main content

Maybank untung RM2.39 bilion suku pertama

 

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Maybank merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM2.39 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021, meningkat 16.6% berbanding RM2.05 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu menyaksikan pinjaman meningkat seiring prospek ekonomi yang semakin baik 

 

Bagi tempoh itu juga, perbelanjaan dan kerugian rosot nilai bersih menurun manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku tersebut berjumlah RM3.17 bilion berbanding RM2.80 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Perolehan ini diterjemahkan kepada pulangan di atas ekuiti sebanyak 11.7% berbanding 10.6% pada tahun lalu, manakala pendapatan sesaham meningkat 15% kepada 21 sen daripada 18.2 sen sebelumnya. 

 

Zamzamzairani Mohd. Isa
Zamzamzairani Mohd. Isa

 

 

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, prestasi suku pertama yang memberangsangkan membuktikan daya tahan operasi kumpulan yang kuat dan strategi proaktif telah diguna pakai oleh Maybank sepanjang tahun lalu, walaupun keadaan ekonomi tidak menentu disebabkan pandemik COVID-19.
 

“Walaupun kita melihat penigkatan semula jangkitan wabak di sebilangan pasaran, tetapi kita tetap berharap pemulihaan ekonomi secara beransur-ansur untuk rantau ini, yang mana kerajaan berusaha untuk mengatasi kemunduran ini dan meningkatan program vaksinasi.

 

"Maybank berada dalam posisi yang baik untuk mendukung peningkatan kegiatan ekonomi dan akan memperkukuhkan perniagaan, bersama dengan pihak berkepentingan serta menyokong pelanggan supaya secara kolektif dapat tampil dengan lebih kuat," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Dipacu oleh prospek ekonomi yang semakin baik, permintaan pinjaman meningkat pada suku pertama 2021, dengan pinjaman kasar kumpulan pada 3.1% lebih tinggi berbanding 0.3% tahun lalu. 

 

Ini didorong oleh operasi Malaysia yang menyaksikan peningkatan pinjaman sebanyak 4.9% pada suku pertama, disokong oleh kenaikan 7.4% yang baik dalam segmen Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) atas permintaan yang utuh dalam kalangan pengguna serta Perbankan Perniagaan dan segmen PKS. 

 

Operasi Kumpulan Singapura juga mencatat peningkatan dengan pinjaman meningkat 2.1%, disokong terutama oleh perniagaan CFS. 

 

Operasi Maybank Indonesia, sebaliknya, mencatat penurunan 18.3% didorong daripada hasil penghapusan dan pembayaran yang mana ia terus menguruskan pendedahannya sebagai sebahagian daripada strategi berterusan bagi mengimbangkan portfolio untuk mengurangkan risiko. 

 

Sejajar dengan strategi kumpulan untuk mengekalkan asas kecairan yang kuat dan memperluas struktur pembiayaan kos rendahnya, deposit kasar meningkat 10.3% T-k-T, berikutan kenaikan 10.0% di Malaysia dan 9.6% di Singapura. 

 

Sehubungan itu, nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) kumpulan kepada jumlah deposit terus meningkat kepada 44.5% pada Mac 2021 daripada 38.4% pada tahun sebelumnya. 

 

Ditambah dengan penurunan kadar sepanjang tahun kewangan 2020, pertumbuhan nisbah deposit dan CASA yang sihat membantu menaikkan margin faedah bersih Kumpulan (NIM) sebanyak 8 mata asas kepada 2.31% daripada 2.23% tahun sebelumnya. 

 

 

Abdul Farid Alias
Datuk Abdul Farid Alias

 

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Farid Alias berkata, bagaimanapun Maybank masih berwaspada memandangkan pandemik ini belum dapat diatasi sepenuhnya. 

 

Oleh itu, katanya, kumpulan akan tetap giat dan bersedia untuk memanfaatkan peluang sedia ada, sambil terus mengekalkan pendekatan yang berdisiplin dalam menguruskan perniagaan.  

 

“Salah satu risiko yang dihadapi oleh institusi kewangan adalah implikasi kredit yang timbul disebabkan sekatan pergerakan kerana COVID-19 dan implikasi tersembunyi di bawah program-program Bantuan Pembayaran Balik dan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar. 

 

"Bank-bank perlu terus memantau situasi dengan lebih terperinci dan memberi peruntukan rosot nilai yang mencukupi untuk mengatasi sebarang situasi yang tidak dijangka, justeru, kita mesti terus berwaspada untuk melindungi sistem perbankan," katanya. 

 

Kualiti aset pada suku yang dikaji juga kekal sihat dengan nisbah Pinjaman Terjejas Kasar Kumpulan meningkat kepada 2.20% daripada 2.71% pada Mac 2020 sementara caj kredit bersih juga bertambah baik pada 65 mata asas berbanding 73 mata asas tahun lalu. 

 

Dalam pada itu, sejajar dengan tujuan kumpulan untuk menginsankan perkhidmatan kewangan, Maybank terus menawarkan pelbagai pakej Bantuan Pembayaran Balik kepada pelanggan yang masih terkesan oleh sekatan pergerakan setelah berakhirnya skim moratorium pinjaman tahun lalu. 

 

Setakat 10 Mei 2021, kira-kira 16.9% daripada baki pinjaman yang belum dijelaskan di Malaysia berada di bawah Bantuan Pembayaran Balik, sementara bahagian di Indonesia dan Singapura masing-masing berada pada 20.3% dan 5.7%. - DagangNews.com