IPOH 4 Ogos - Sebuah taman dinosaur atau Dinosour Park dengan binaan haiwan prasejarah akan dibina di Taman Rekreasi Gunung Lang di sini sebagai satu lagi tarikan baharu.
Ia akan dimajukan di kawasan seluas 2.4 hektar dengan kos projek dianggarkan sebanyak RM7 juta.
Projek rekreasi terbaharu ini akan dibangunkan secara kerjasama antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan Syarikat Pebec Berhad (Pebec).
Taman Rekreasi Gunung Lang dipilih sebagai lokasi taman Dinosour kerana populariti kawasan itu yang tersenarai antara lima taman popular dalam kalangan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Ini juga akan menjadi taman Dinosour ketujuh di negara ini selepas di The Top Komtar, Pulau Pinang; Resort World (Genting Highlands), Pusat Sains Negara (Kuala Lumpur), Zoo Teruntum, (Kuantan), Zoo Melaka dan Jurassic Land (Sabah).
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, projek itu meliputi dua fasa dengan fasa pertama dimulakan awal tahun depan.
Katanya, sebanyak 30 haiwan prasejarah akan dibina di taman ini iaitu statik dan animatronik, sebuah pusat pendidikan yang boleh menampung 100 pengunjung dan kedai cenderamata.
"Bagi fasa kedua pula, ia akan dimulakan dalam tempoh setahun kemudian merangkumi pawagam animasi 3D dan permainan air tetapi bergantung pada sambutan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman bagi cadangan pembinaan taman tema dinosaur bersama Pebec Berhad diwakili pengerusinya, Norali Nordin.
Hadir sama Konsultan Principal Pebec Berhad, Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Datuk Seri Adnan.
Pembangunan Dinosaur Park ini merupakan usahasama antara MBI-swasta serta tidak melibatkan pelaburan menggunakan duit kerajaan.
Pelaburan ini adalah berskala sederhana kerana ingin mengekalkan suasana semulajadi yang indah di Gunung Lang serta meminimumkan kos dan impak ke atas alam sekitar serta bukit batu kapur sedia ada.
Tarikan baharu di Taman Rekreasi Gunung Lang ini juga mensasarkan golongan keluarga dan anak-anak untuk tujuan riadah dan pembelajaran.
Pembinaan ini akan menjadikan ia taman tema dinosaur yang pertama terletak dalam kawasan geopark sekali gus menjadi tarikan pengunjung pada Tahun Melawat Perak 2024. - DagangNews.com