MBO Cinemas mungkin ditutup | DagangNews Skip to main content

MBO Cinemas mungkin ditutup

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - MCAT Box Office Sdn. Bhd. atau lebih dikenali MBO Cinemas akan dibubarkan ekoran masalah kecairan tunai yang dihadapi syarikat sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19. 

Syarikat tersebut mempunyai jumlah aset sebanyak RM197.76 juta setakat 31 Disember 2018 berdasarkan data CTOS. Keseluruhan liabiliti pula berjumlah RM111.31 juta. 

Dalam notis kepada pemiutang yang dilihat The Edge, ia memaklumkan pada 14 Oktober 2020, lembaga pengarah MCAT Box Office Sdn. Bhd. telah meluluskan resolusi untuk meletakkan syarikat dalam pembubaran sukarela pemiutang dan melantik Lim San Peen of PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn. Bhd. sebagai pelikuidasi sementara. 

Notis itu juga memanggil satu mesyuarat antara pemiutang dan pelikuidasi sementara bagi membincangkan proses pembubaran. 

Dalam proses pembubaran itu, aset syarikat akan dijual bagi membayar semula pemiutang dan perniagaan akan ditutup. 

Pada Mac 2012, Navis Malaysia Growth Opportunities Fund 1, L.P. (Navis MGO Fund) yang diuruskan oleh Navis Capital Partners di bawah Program Penyumberan Luar Ekuinas Nasional Bhd., membuat pelaburan minoriti bersama dalam MBO Cinemas berjumlah RM21 juta.  

Setakat 2018, dana itu mempunyai 92.74% pegangan dalam MBO Cinemas manakala 7.26% dimiliki pengasas Eco World Development Group Bhd, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Manaf. 

Sebelum pandemik COVID-19, syarikat ini menerima tawaran harga yang menarik tetapi nilainya merosot disebabkan wabak tersebut. 

Rangkaian pengendali panggung wayang ketiga terbesar di Malaysia itu mempunyai 27 cawangan di seluruh negara. 

Bagaimanapun menerusi hantarannya di Facebook pada 12 Oktober lalu, hanya 4 cawangan sahaja beroperasi seperti biasa manakala selebihnya ditutup sehingga diberitahu kelak dan sebahagiannya ditutup apabila PKPB dilaksanakan semula di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur. - DagangNews.com