MBSB ambil alih MIDF pada harga RM1.01 bilion bagi meluaskan spektrum perbankan | DagangNews Skip to main content

MBSB ambil alih MIDF pada harga RM1.01 bilion bagi meluaskan spektrum perbankan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - Malaysia Building Society Berhad (MBSB) menandatangani perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk mengambil alih Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) pada harga RM1.01 bilion.

 

Menerusi perjanjian itu, MBSB akan melengkapkan pembayaran itu dengan menerbitkan kira-kira 1.05 bilion saham baharu dalam kumpulan dengan harga terbitan RM0.9652 kepada PNB.

 

Selepas itu, MIDF akan menjadi anak syarikat milik penuh MBSB manakala kepentingan Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PNB dalam MBSB masing-masing adalah kira-kira 57.45% dan 12.78%.

 

Harga belian mewakili nisbah harga kepada buku (PBR) kira-kira 0.85 kali daripada aset bersih larasan MIDF pada 31 Disember 2022.

 

Cadangan pengambilalihan itu akan menghasilkan kumpulan perkhidmatan kewangan yang mempunyai modal kukuh yang berdaya tahan dari segi kewangan untuk bersaing dalam pasaran dengan kunci kira-kira yang lebih baik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Datuk Nor Azam M Taib berkata, potensi sinergi antara MBSB Bank dan MIDF akan membolehkan kumpulan yang diperbesarkan untuk memberi perkhidmatan kepada kumpulan pelanggan yang lebih luas melalui penyelesaian pembiayaan, penstrukturan dan nasihat yang disesuaikan.

 

Katanya, gabungan kekuatan dan kepakaran meletakkan mereka dalam kedudukan yang lebih baik untuk menyokong keperluan perniagaan dan pertumbuhan pelanggan dan korporat.

 

"Kumpulan itu akan mempunyai rangkaian yang diperluas dan perniagaan pelengkap yang akan mengukuhkan jejaknya dalam sektor perbankan dengan tumpuan pelanggan sebagai tumpuan terasnya.

 

"Ini seterusnya, akan membantu kumpulan membina perniagaan yang lebih pelbagai dan mampan, serta pertumbuhan yang menguntungkan pada masa hadapan.

 

"Perniagaan perbankan pengguna, perbankan komersil & PKS, kewangan pembangunan dan perbankan korporat kumpulan yang diperbesarkan itu akan membantu mengurangkan pasaran yang lebih tidak menentu untuk pendapatan berasaskan fi, manakala perniagaan perbankan pelaburan akan menjadi lebih berskala dengan asas modal yang lebih besar," katanya. 

 

MBSB dijangka membentangkan cadangan pengambilalihan untuk pertimbangan pemegang saham menjelang Ogos 2023.- DagangNews.com