MBSB Bank bekerjasama dengan Mydin sediakan akses produk perbankan lebih baik kepada orang ramai | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank bekerjasama dengan Mydin sediakan akses produk perbankan lebih baik kepada orang ramai

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Menara MBSB Bank, di Petaling Jaya, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menjalinkan kerjasama strategik dengan Mydin sebagai langkah menyediakan kemudahan dan akses lebih baik kepada produk perbankannya.

 

Menerusi jalinan kerjasama itu, MBSB Bank akan berada di 14 cawangan Mydin terpilih di seluruh negara bagi menawarkan pelbagai produk perbankan seperti Pembiayaan Peribadi-i, Deposit Berjangka-i dan Pembiayaan Hartanah-i dengan kadar kompetitif bermula 15 Mac 2023.
 

Pada masa yang sama, pelanggan Mydin dan orang ramai juga berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk hadiah wang tunai, kereta mewah dan pakej percutian dengan menyertai Kempen 'Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0' MBSB Bank melalui pembukaan akaun Primewin Savings-i dan Akaun Semasa-i Primewin.

 

Kerjasama itu juga dijangka menggerakkan kempen yang disasarkan sepanjang tahun yang juga akan menyaksikan usaha penjenamaan bersama termasuk Cawangan Pop-Up MBSB Bank di cawangan-cawangan Mydin.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata,  pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Mydin yang sentiasa komited dalam menyedia perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.


"Kerjasama ini akan memperkenalkan Cawangan Pop-Up MBSB Bank yang bertujuan untuk membawa pelanggan lebih dekat dengan platform perbankan digital kami seperti M JOURNEY, M FAST, QRPay dan e-dompet.

 

"Cawangan Pop-Up MBSB Bank juga akan memberi peluang kepada pelanggan komersial dan Perusahaan Kecil, Sederhana (PKS) untuk mengetahui lebih lanjut tentang kemudahan pembiayaan, produk deposit dan kempen kami. 

 

"Kami berharap untuk memanfaatkan Mydin bagi meningkatkan pelanggan Baharu-ke-Bank (NTB)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, ia merupakan kali pertama sebuah bank dan peruncit menjalinkan kerjasama.

 

Beliau berkata, pihaknya komitmen MBSB Bank dalam menyokong kempen ‘Klasiknya Raya’ bersempena Ramadan dan Aidilfitri akan datang, serta kempen lain yang telah dipersetujui bersama untuk 12 bulan akan datang.

 

"Orang ramai khususnya pelanggan kami boleh mengambil peluang ini untuk meneroka lebih lanjut mengenai pembiayaan peribadi pematuhan syariah sambil menikmati ganjaran yang besar.

 

"Kami berharap MBSB Bank mempunyai rancangan untuk membawa kemudahan bank kepada pelanggan kami dan memulakan pembukaan cawangan di lokasi pusat beli belah kami," katanya. - DagangNews.com